Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kemahuan Umno pada PRU bukan untuk parti atau rakyat, dakwa Kadir
Diterbitkan:  Jan 7, 2021 9:34 AM
Dikemaskini: 1:34 AM

Bekas anggota Majlis Pimpinan Tertenggi Bersatu A Kadir Jasin mendakwa desakan Umno agar parlimen dibubarkan segera untuk membuka laluan kepada pilihan raya umum (PRU) lebih bersifat peribadi sesetengah pemimpinnya.

Menurut A Kadir ketika ini beberapa pemimpin Umno sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah dan berdepan dengan kemungkinan dipenjarakan jika didapati bersalah.

Justeru katanya bagi Umno gabungan mana yang akan disertai Umno untuk membolehkan parti itu menang dalam PRU akan datang akan membolehkan pemimpin terbabit terselamat.

"Jadi pilihan raya yang dituntut-tuntut itu adalah lebih untuk mereka daripada untuk Umno dan rakyat jelata.

"Kita kena faham dan hadapi realiti. Tanya diri kita, adakah kita rela masuk penjara?" katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Ketika Perikatan Nasional (PN) masih menjadi kerajaan dengan sokongan majoriti yang sangat tipis Umno berkali-kali menyatakan keinginan mereka agar PRU diadakan segera.

Bagaimanapun pembubaran parlimen buat masa ini dianggap tidak sesuai kerana wujudnya ancaman ketara Covid-19 dengan jumlah kes baru harian kekal pada tahap empat angka.

Masih kekal dalam PN

Pada masa sama "akar umbi" Umno juga dikatakan mendesak agar hubungan parti itu dengan Bersatu ditamatkan. Ia dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur malam tadi.

Usul itu, kata Umno, akan dibahas dan diputuskan dalam perhimpunan agung parti itu 31 Jan ini.

Bersatu - yang turut bermesyuarat pada malam tadi - kemudian meminta semua pihak yang menjalin hubungan dengan PN agar menghormati keadaan itu dan berpendapat PRU belum sesuai diadakan sekarang.

Menurut A Kadir berdasarkan kenyataan dibuat Umno malam tadi sebenarnya masih banyak persoalan yang belum terjawab, selain manoeuvre (gerakan) dalam kalangan parti serta individu tertentu dalam parti akan berlanjutan.

Dia yang sebelum ini menjadi penasihat media kepada Dr Mahathir Mohamad menambah berdasarkan pendirian rasmi Umno yang dinyatakan malam tadi, tiada perubahan kerajaan akan berlaku sehinggalah PRU ke-15 diadakan.

Maksudnya, kata A Kadir Umno kekal dalam kerajaan PN.

"Tetapi ini bukanlah kepastian kerana ahli-ahli perseorangan Umno masih boleh mengadakan rundingan rahsia dengan Muhyiddin Yassin yang mahu kekal sebagai perdana menteri, dan Anwar Ibrahim yang hendak menjadi perdana menteri," katanya.

Lihat Komen
ADS