Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bas ekspres yang dinaiki Farys Nordin, 26, tersangkut dalam banjir di tengah-tengah malam, menyebabkan perjalanannya dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur tergendala sehingga lebih seharian.

Dari masjid yang terletak agak tinggi di atas bukit tempat Farys dan kira-kira 40 penumpang bas lain menumpang teduh daripada hujan musim tengkujuh, mereka dapat melihat bas dua tingkat yang dinaiki sebelumnya telah tenggelam hampir separuh.

Tetapi, tiada apa yang dapat dilakukan. Enjin tidak dapat dihidupkan, aras bawah bas habis dinaiki air, beg-beg di tempat penyimpanan juga tidak dapat dikeluarkan dan terpaksa ditinggalkan.

Di Masjid Jeram Besu, di Raub, bukan mereka sahaja menumpang teduh. 

Menurut Farys, mereka berkongsi bersama ramai pengguna jalan raya lain yang terkandas - tidak boleh hendak meneruskan perjalanan ataupun berpatah balik.

“Masjid itu terputus bekalan elektrik. Cuma lilin-lilin dinyalakan. Lewat malam itu (semasa dia sampai) masih ada bekalan air lagi,” katanya yang selamat sampai di masjid itu pada tengah malam setelah bomba yang memang sedang berkawal di kawasan masjid itu menyelamatkan penumpang bas.

Bekalan elektrik terputus, rangkaian telefon mudah alih tergendala, dan keadaan pula sejuk gara-gara hujan - mujurlah orang-orang kampung di situ prihatin dan ambil berat.

Mereka datang menghantar makanan buat manusia terkandas di masjid itu sepanjang lebih seharian mereka di situ.

“Ada keropok lekor, buah-buahan, nasi lemak, nasi putih sardin masak asam,” kata Farys kepada Malaysiakini, menceritakan antara menu yang dihantar orang kampung buat mereka yang menumpang di masjid.

Tiba-tiba bas bergoyang

Menceritakan pengalamannya, kata Farys, pada Ahad lalu (3 haribulan), basnya bertolak dari Kota Bharu kira-kira jam 2 petang untuk ke Kuala Lumpur, dan di sepanjang perjalanan itu, setakat yang disedarinya, hujan turun di sepanjang jalan.

Dia dan seorang lagi kawannya ke Kelantan untuk menghadiri majlis perkahwinan kawannya yang berlangsung Jumaat lepas.

Katanya, sebelum terkandas, pemandu bas meredah dua kali banjir - kali pertama berjaya, kali kedua tidak berjaya sehingga menyebabkan bas terpaksa berpatah balik mencari jalan lain.

Bagaimanapun, pada cubaan kali ketiga meredah banjir, nasib tidak menyebelahi mereka. Dia yang mengaku tidak dapat tidur kerana risau ketika itu, menceritakan bagaimana enjin bas tiba-tiba mati di tengah banjir.

“Bila masuk dalam air itu, saya dah nampak satu pondok (wakaf) itu dah macam nak tenggelam. Saya fikir, betul ke bas ni nak masuk (redah)? Akhirnya, tiba-tiba bas bergoyang, macam nak terapung, ke kiri ke kanan.

“Lepas tu, tiba-tiba enjin mati. Semua orang cuak, semua orang dah bangun (dari tidur). Pemandu nak hidupkan balik enjin tak boleh. Lepas itu lampu berkelip-kelip, pendingin hawa hidup-mati, lepas itu terus black out satu bas,” katanya.

Mujurlah bas mati tidak jauh dari Masjid Jeram Besu, dan lebih mujur, ada bomba berjaga di situ.

Mereka diselamatkan anggota bomba yang datang menaiki bot pelampung, dan mereka semua menaiki bot itu secara berempat-empat melalui pintu kecemasan, dalam trip yang berulang-alik beberapa kali itu.

Setibanya di masjid kira-kira tengah malam, kata Farys, perkarangan masjid penuh dengan kereta. Rupa-rupanya, ada pengguna jalan raya lain terkandas di situ, sejak jam 6 petang lagi.

Keadaan masjid yang ketika itu sudah terputus bekalan elektrik tidaklah begitu sesak.

Pada lewat pagi itu, katanya, setelah melanggan talian internet, barulah dia dapat menghubungi keluarganya menerusi panggilan WhatsApp dan memaklumkan kejadian yang menimpanya kepada kawan-kawan lainnya.

Dan lewat pagi itu - kira-kira jam 1 pagi - Farys dan rakannya mengambil keputusan untuk tidur di anjung masjid yang terbuka, dengan mengenakan baju sejuk dan berselimutkan kain pelikat.

Baru perasan seluar koyak

Apabila mereka bangun daripada tidur pada pagi hari, bekalan air di masjid pula terputus. Bukan itu saja, katanya, rangkaian internet juga terputus, dan mereka langsung tidak boleh membuat atau menerima panggilan.

Mereka menunggu di masjid itu, sehinggalah banjir surut kira-kira jam 4 petang. Barulah penumpang bas turun mengambil beg dan barangan mereka yang sudah lencun di bas.

Setelah bas ganti dari Kota Bharu juga terkandas di Kuala Lipis, akhirnya mereka mendapat berita baik, iaitu bas dari Kuala Lumpur selamat sampai. 

Bagaimanapun, mereka harus bergerak beberapa kilometer untuk sampai ke lokasi, dan masih perlu meredah satu lagi kawasan banjir.

Sekali lagi, katanya, mujurlah ada orang kampung yang bermurah hati mengangkut barangan mereka menggunakan kenderaan pikap Hilux manakala penumpang bas pula menumpang lori barang ke lokasi bot yang akan digunakan untuk menyeberang banjir.

Sebelum berangkat, katanya, beberapa penumpang bas sempat ke rumah seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Makcik Melor, yang bermurah hati memasak bekalan untuk mereka bawa pulang. 

Mereka membantu Makcik Melor (gambar, bawah) membungkus makanan tersebut.

Setelah menyeberang banjir, mereka menumpang pula lori polis untuk ke lokasi bas berdekatan sekolah, yang terletak kira-kira 4 km dari tempat bot.

Dari situ, barulah mereka meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur kira-kira jam 8 malam, dan sempat berhenti makan di sebuah kedai mamak.

Kata Farys yang tinggal di Bukit Jalil itu, bas tiba di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) kira-kira jam 11 malam, Isnin lalu, dengan berkain pelikat.

“Saya perasan seluar saya koyak (ketika sampai di masjid). Lepas tu saya terus pakai kain pelikat. Hendak atau tidak, saya kena berpelikatlah (dalam perjalanan balik),” kongsinya sambil ketawa.

Bagi Farys, dia meluahkan rasa terharu atas sikap murah hati penduduk kampung yang tidak berkira untuk membantu mereka yang terkandas dalam kesulitan.

“Bila orang kampung bagi makanan itu, kami rasa terharulah. Orang kampung sediakan makanan apa sahaja yang boleh mereka sediakan. Kami bersyukurlah.

“Saya mula-mula tu macam panik, tapi lepas tu tenang. Bangun-bangun pagi (di masjid), saya lapar. Saya macam terfikir, tak ada ke orang nak bagi makanan, macam tiba-tiba helikopter tentera datang jatuhkan makanan ke.

“Tiba-tiba tak lama selepas itu, ada makanan dari orang kampung. Malah mereka juga bagi air gas karton, ada air Coca-Cola, air Fanta. Kami makan apa yang orang kampung sediakan,” kongsi Farys.

Pengalamannya itu dikongsi Farys di Twitternya, dan setakat ini bebenang itu sudah diulang-ciap hampir 16,000 kali.

Dalam ciapannya itu, Farys berkongsi coretan mengenai pengalaman itu, serta video serta gambar-gambar yang memaparkan wajah-wajah yang masih tersenyum di kala berdepan kesulitan.

“Apabila keadaan menjadi sukar, jangan panik, senyum. Jadi positif, fikir dan berusaha, doa banyak-banyak.

“Kita tak boleh hidup sendiri. Kita sentiasa perlukan antara satu sama lain. Berbuat baiklah kepada orang lain. Sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada,” kongsinya seperti dipetik dalam salah satu ciapannya. 

Lihat Komen
ADS