Pilihan raya negeri Sabah yang tercetus akibat cubaan rampasan kuasa politik tahun lalu menelan belanja sebanyak RM130 juta.
Perkara ini dinyatakan oleh Putrajaya dalam jawapan bertulis parlimen yang dikeluarkan minggu lalu. Ia adalah sebahagian besar jawapan bertulis dari sesi Dewan Rakyat lalu yang berakhir pada 17 Disember 2020.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, ketika menjawab soalan anggota Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, menyenaraikan senarai perbelanjaan untuk pilihan raya yang diadakan pada September lalu.


Dari 11 perincian yang disenaraikan, jumlah tertinggi yang dibelanjakan adalah untuk 'sewaan', yang menyaksikan RM69,678,260 dibelanjakan oleh kerajaan.
Jumlah perbelanjaan kedua tertinggi adalah RM39,850,047.30, yang diperincikan sebagai 'perkhidmatan iktisas dan perkhidmatan lain yang dibeli, dan hospitaliliti'.
Butiran lain adalah seperti berikut (mengikut jumlah yang dibelanjakan):
- Bekalan dan bahan lain: RM8,789,681
- Perbelanjaan perjalanan dan sara hidup: RM4,480,719.50
- Elaun lebih masa: RM2,231,011.20
- Pemberian dalam negeri: RM2,020,881
- Pengangkutan barang-barang: RM1,085,000
- Perhubungan dan utiliti: RM986,400
- Penyelenggaraan dan pembaikan kecil yang dibeli: RM535,000
- Bahan-bahan makanan dan minuman: RM309,000
- Bekalan bahan mentah dan bahan-bahan penyelenggaraan dan pembaikan: RM34,000
Walau bagaimanapun, jawapan bertulis oleh Takiyuddin tidak menyatakan secara terperinci untuk setiap butiran yang telah dibelanjakan oleh pemerintah.
