Malaysiakini
BERITA

SKMM nyah aktif Twitter lepas ciapan lama berunsur lucah dikongsi semula

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Jan 2021, 3:17 petang

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) nyah aktif akaun Twitter rasminya buat sementara waktu dengan mendakwa ia telah diceroboh.

Perkembangan itu hadir setelah ciapan lama dari akaun itu dikongsi semula. Ciapan berkenaan dikatakan dimuat naik pemilik akaun sebelumnya.

Tangkap layar ciapan yang dipercayai dibuat sekitar tahun 2014 memaparkan penggunaan bahasa kesat dan lucah.

Ia diciap semula pengguna Twitter tidak lama selepas SKMM hari ini mengeluarkan kenyataan menggesa netizen untuk bersikap sopan dan menjaga kesopanan ketika membuat komen di media sosial, terutama dalam konteks pengisytiharan darurat.

Netizen bertindak balas dengan mengejek SKMM kerana ciapan lama itu.

Susulan itu, dalam kenyataan berasingan, SKMM mendakwa bahawa akaun Twitternya "diceroboh" oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"SKMM ingin memaklumkan bahawa akaun Twitter rasmi Suruhanjaya @SKMM_MCMC telah diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Susulan itu, akaun Twitter rasmi Suruhanjaya @SKMM_MCMC berkenaan telah digantung buat sementara waktu.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan hantaran-hantaran mesej yang mencurigakan, jelik dan bersifat fitnah yang telah dimuat naik melalui akaun berkenaan, yang bukan dikeluarkan oleh pihak SKMM," kata kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Komunikasi Korporat SKMM.

Dalam respons segera, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mempersoalkan dakwaan SKMM yang mengatakan akaun itu dicerbohoh.

"Bagaimana akaun Twitter rasmi SKMM berjaya ‘diceroboh’ pada 2014?

"Ini kerja hacker (penggodam) atau pengembara masa?" katanya.

 

Sebelum ini, seorang individu yang menggunakan akaun Twitter @NazruiHakim mengaku sebagai pemilik asal akaun SKMM, dan mendakwa bahawa dia telah menjual akaun itu ketika dia masih berada di sekolah menengah tanpa memadam ciapan lama.

Dia mengatakan bahawa akaun berkenaan pada masa itu mempunyai 50,000 pengikut dan dia tidak mengetahui bagaimana akhirnya akaun itu menjadi akaun rasmi SKMM.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.