Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hari pertama PKP 2.0, restoran catat kemerosotan 80% - Presma
Diterbitkan:  Jan 13, 2021 1:54 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mendakwa perniagaan perkhidmatan makanan merosot 80 peratus sejak bermulanya pelaksanaan perintah kawalan pergerakan kali kedua (PKP 2.0) di enam negeri hari ini.

Presiden Presma, Jawahar Ali Taib Khan berkata, lebih 4,200 ahli persatuannya yang juga merupakan pemilik restoran terkesan ekoran pelaksanaan PKP 2.0 itu.

“Sejumlah lebih 4200 ahli Presma terdiri daripada pemilik restoran di enam negeri yang dikenakan PKP 2.0 akan terkesan dengan pelaksanaan itu.

“Hasil pemerhatian pada hari pertama PKP 2.0 kali kedua ini mendapati perniagaan begitu merosot sehingga mencecah 80 peratus sehingga menjejaskan pendapatan ahli Presma di negeri-negeri yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penguatkuasaan semula PKP 2.0 yang melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari, bermula hari ini hingga 26 Jan.

Sementara itu, Jawahar turut memohon agar kerajaan memberi kelonggaran kepada restoran dan penyedia perkhidmatan makanan yang beroperasi.

Antaranya adalah untuk menghadkan jumlah pelanggan kepada dua orang setiap meja serta lanjutan waktu operasi.

“Presma juga ingin memohon waktu operasi dilanjutkan daripada 6 pagi hingga 8 malam kepada 10 malam bagi membolehkan orang ramai mendapatkan makanan pada waktu malam.

“Ini kerana, pelaksanaan pada hari pertama menunjukkan masih ramai yang ingin membeli makanan selepas jam lapan malam atas faktor kerja dan sebagainya,” katanya lagi.

Tambah Jawahar, cadangan itu turut disambut baik oleh Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) yang turut sama terkesan akibat pelaksanaan PKP 2.0 kali ini.

“Presiden PPMM Che Hassan Che Johan berkata, ia termasuklah mengguna pakai kaedah sama ketika perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sebelum ini.

“Sudah tentu ia akan menggerakkan ekonomi menerusi aktiviti perniagaan.

“Namun perlu ditegaskan, kelonggaran ini masih tertakluk kepada SOP. Sekiranya ada yang melanggar arahan, tindakan sewajarnya harus diambil,” katanya.

Bagi kawasan bawah PKP 2.0, restoran, trak makanan, gerai makanan, dan tempat makan lain hanya dibenarkan beroperasi pada jam enam pagi hingga lapan malam.

Orang awam juga tidak dibenarkan makan dalam restoran dan cuma membuat perkhidmatan bawa pulang, dan penghantaran sahaja.

Lihat Komen
ADS