Malaysiakini
BERITA

KKM jangka perlu 3 bulan untuk landai keluk jangkitan Covid-19

Hariz Mohd

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Jan 2021, 12:39 tengahari

Kementerian Kesihatan (KKM) menjangka 12 minggu diperlukan untuk melandaikan keluk jangkitan baru Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, unjuran itu berdasarkan data semasa KKM, yang menurutnya boleh berubah setelah dua minggu penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Apa yang penting, kita di landasan betul dan harap kepatuhan prosedur operasi standard (SOP), dan kalau boleh rakyat duduk rumah. Kalau terpaksa keluar, pakai pelitup muka, cuci tangan dan (jaga) penjarakan. Kita harap (langkah ini) dapat turunkan (kadar jangkitan).

"Dari segi melandaikan keluk, kita jangka akan dapat lihat dalam tempoh 12 minggu. Kita lihat dua minggu ini dulu, perlu atau tidak (ambil langkah selanjutnya).

"Berdasarkan data, dalam bulan Mei kita boleh landaikan keluk jangkitan Covid-19 di negara kita," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada keluk jangkitan wabak dapat dilandaikan dalam tempoh dua minggu pelaksanaan PKP.

KMM berpandangan kadar kes harian yang dilaporkan buat masa ini tidak akan berkurang hanya dengan dua minggu PKP.

Bagaimanapun, Noor Hisham berkata pihaknya berharap untuk sekurang-kurangnya menghalangnya daripada terus meningkat.

"Pada hemat saya, dalam tempoh dua minggu mungkin tak boleh kurangkan (kes baru harian), tetapi ia boleh elakkan kes semakin bertambah.

"Kalau kita laksanakan (PKP) selama empat minggu, insya-Allah boleh kurangkan kes (baru harian) kepada 1,000," katanya.

Untuk mencapai sasaran itu, katanya lagi, PKP akan disusuli dengan tempoh PKP Bersyarat (PKPB) yang lebih longgar.

Noor Hisham tidak menyatakan tempoh masa untuk PKP dan PKPB dikuatkuasakan, bagaimanapun membayangkan membayangkan PKP mungkin berjalan sehingga empat minggu jika dikuatkuasakan sepenuhnya.

Malaysia menyaksikan kes baru harian empat angka, kebanyakannya antara 2,000 hingga 3,000 kes baru. Kes harian tertinggi setakat ini direkodkan semalam, dengan 3,309 kes.

Noor Hisham berkata sasaran KKM adalah untuk menurunkan jumlah itu kepada 500 bagi meringankan beban yang kini ditanggung sistem kesihatan.

Minggu lalu, dia mengakui yang sistem kesihatan negara mencapai tahap genting dengan kemudahan kesihatan bergelut untuk menampung jumlah pesakit.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.