Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gabungan CSO lancar kempen #Bantah Darurat Muhyiddin
Diterbitkan:  Jan 14, 2021 2:47 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

Gabungan organisasi masyarakat madani (CSO) melancarkan kempen dalam talian untuk memprotes pengisytiharan darurat yang disifatkan mereka sebagai serangan terhadap kebebasan sivil dan memudaratkan demokrasi berparlimen.

Platform CSO untuk Perubahan menggesa orang ramai untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka di media sosial dengan menggunakan tanda pagar #BantahDaruratMuhyiddin.

Darurat diisytiharkan pada hari Selasa sebagai langkah kerajaan memerangi wabak Covid-19.

Di bawah darurat yang berkuat kuasa sehingga 1 Ogos, fungsi parlimen digantung - memberikan kuasa sepenuhnya kepada eksekutif.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu mengatakan, meskipun mereka menyokong usaha menangani wabak Covid-19 melalui undang-undang seperti perintah kawalan pergerakan (PKP), kuasa eksekutif yang keterlaluan tanpa pengawasan parlimen atau DUN adalah satu "tragedi dalam pemerintahan".

"Pemisahan kuasa adalah kunci kepada pemerintahan yang demokratik.

"[...] Kami mendesak kerajaan untuk tidak mengutamakan oportunisme politik, dan sebaliknya memberi tumpuan untuk melandaikan lekuk COVID-19 dengan langkah-langkah yang ada," kata kenyataan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan yang berasingan, Forum Asia untuk Hak Asasi Manusia dan Pembangunan (Forum-Asia) meminta masyarakat sivil dan orang awam agar mempertanggungjawabkan pada masa darurat.

Ini kerana penelitian mereka telah menunjukkan kecenderungan di mana "kerajaan di Asia telah menggunakan kuasa darurat untuk melanggar hak asasi manusia dan untuk menumpukan kekuasaan, melalui peningkatan ketenteraan dan sekatan yang tidak proporsional".

"Kita semua harus tetap waspada dan memastikan bahawa kita tidak kehilangan kebebasan yang diperjuangkan kerana ini. Kerajaan harus mendapat mesej bahawa kita semua sedang memerhati," kata mereka.

Muhyiddin telah menekankan bahawa darurat yang diisytiharkan bukan kudeta tentera, dan bahawa ia diperlukan untuk memberi kuasa tertentu kepada kerajaan bagu memerangi wabak Covid-19 yang semakin buruk.

Namun, pengkritik menuduh perdana menteri menggunakan keadaan darurat sebagai cara untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional, setelah kehilangan sokongan majoriti Dewan Rakyat susulan dua anggota parlimen Umno menarik sokongan.

Lihat Komen
ADS