Malaysiakini
BERITA

KKM kini lakukan ujian pada kontak rapat bergejala sahaja

Hariz Mohd & Alyaa Alhadjri & Koh Jun Lin

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Jan 2021, 10:33 pagi

Kementerian Kesihatan (KMM) mengambil beberapa pendekatan baru bagi mengurangkan kesesakan sistem kesihatan awam akibat peningkatan jumlah pesakit Covid-19.

KKM semalam mengeluarkan pekeliling baru dengan beberapa perubahan berhubung penjejakan kontak dan keutamaan bagi individu yang memerlukan ujian calitan.

Menurut sumber KKM, mereka tidak akan lagi melakukan ujian terhadap setiap individu yang dikenal pasti sebagai kontak dengan pesakit positif Covid-19.

Sebaliknya, mulai sekarang, mereka yang akan diuji hanyalah kontak rapat yang telah menunjukkan gejala virus berkenaan.

"Semua kontak rapat hendaklah dikenal pasti dan diarahkan pengasingan dan pemerhatian di rumah. Walau bagaimanapun, ujian pengesanan Covid-19 hanya dijalankan ke atas kontak rapat bergejala sahaja," kata pekeliling yang dilihat oleh Malaysiakini.

Bagi pengesanan kluster pula, hanya sejumlah sampel yang akan diambil, bergantung pada jumlah kontak rapat yang dikenal pasti.

Surat pekeliling itu berkata memadai untuk mengambil 20 sampel sekiranya jumlah individu yang terdedah dalam sesuatu kluster kurang daripada 50 orang.

"Sekiranya melebihi 50 orang, memadai 30 sampel, atau 10 peratus mengikut mana yang terendah," ujarnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah ketika dihubungi hari ini mengesahkan bahawa KKM telah memulakan prosedur baru.

Menurutnya, prosedur baru itu dikeluarkan ketika KKM kini mempertimbangkan untuk membenarkan pesakit yang positif menjalani kuarantin di rumah masing-masing, atau di asrama dan hotel bagi pekerja dengan kos ditanggung majikan mereka.

"Ini adalah prosedur kerja (baru) kerana kita mempertimbangkan untuk menggunakan kaedah kuarantin di rumah, asrama atau hotel, selain hospital dan pusat kuarantin berisiko rendah," katanya dalam pesanan teks.

"Keutamaan adalah menguji individu yang mengalami gejala terlebih dahulu," tambah Noor Hisham dalam satu pesanan teks lain, tanpa mengulas lebih lanjut.

[Baca berita penuh]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.