Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kuasa luas di bawah darurat, soalan masih tidak dijawab
Diterbitkan:  Jan 15, 2021 1:11 PM
Dikemaskini: 5:11 AM

Perincian Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang dikuatkuasa bermula dari 11 Januari 2021 telah diumumkan oleh Jabatan Peguam Negara dan ini memberikan cabang eksekutif kuasa luas seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas pada 12 Jan yang lalu.

Namun terdapat pelbagai soalan yang berbangkit berhubung dokumen yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 14 Januari itu. Antaranya, bahawa ia tidak mempunyai tarikh tamat dan tidak menyatakan jangka waktu kuasa itu berakhir.

Ini terutamanya, buat mereka yang melanggar peruntukan untuk penyitaan aset dan sumber akan dikenakan denda RM5 juta atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya.

"Bahawasanya, disebabkan oleh satu darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19), suatu Proklamasi Darurat telah dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan," petik ordinan yang telah digazet itu.

Selagi darurat berkuat kuasa, perdana menteri dan kabinet yang wujud sebaik sebelum Proklamasi Darurat dikeluarkan pada 11 Januari 2021 yang telah diberikan kuasa eksekutif hendaklah terus menjalankan kuasa eksekutif persekutuan. Ordinan memberikan kuasa serupa di peringkat negeri kepada menteri besar atau ketua menteri yang ada dan ahli exco negeri masing-masing.

Antaranya, Ordinan itu membenarkan pembentukan sebuah jawatankuasa khas bebas yang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memberi nasihat kepada baginda mengenai darurat berlanjutan yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam persekutuan yang timbul akibat wabak tersebut.

Walau bagaimanapun, Ordinan itu tidak menetapkan komposisi jawatankuasa tersebut. Ketika diumumkan oleh Muhyiddin, jawatankuasa itu seolah-olah akan mempunyai anggota pembangkang, tetapi Ordinan Darurat tidak mensyaratkan sedemikian.

Selama, darurat berkuatkuasa, Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Seri Paduka, boleh melantik, tertakluk syarat yang ditentukan, mana-mana orang mengeluarkan arahan untuk rawatan, imunisasi, pengasingan, pemerhatian dan pengawasan di bawah perenggan 11 (3) (a) dan (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Ordinan itu juga memberi kuasa kepada Seri Paduka atau mana-mana orang yang diberi kuasa mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih selama darurat berkuatkuasa.

Ia juga memperuntukan Seri Paduka atau mana-mana orang diberi kuasa boleh meminta apa-apa sumber untuk digunakan bagi apa-apa maksud yang Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang diberi kuasa oleh Agong fikirkan perlu.

Agong atau orang yang diberi kuasa juga boleh memberikan apa-apa arahan berhubung dengan pengenaan apa-apa fi atau caj yang boleh dikenakan oleh orang yang sumbernya diminta.

Bagi maksud seksyen ini, "sumber" termasuklah sumber manusia, kemudahan, utiliti dan aset dan pengawal atau pengurus sumber manusia, kemudahan, utiliti dan aset itu.

Antara lain, Ordinan juga memperuntukan pampasan berkenaan dengan pemilikan dan pengunaan mana-mana tanah, bangunan dan harta alih itu hendaklah ditaksirkan oleh orang yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mana-mana orang yang melanggar atau gagal mematuhi atau arahan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan selama temppoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Kuasa tambahan angkatan tentera

Bagi tempoh darurat berkuat kuasa, angkatan tentera atas arahan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong, hendaklah mempunyai segala kuasa seorang pegawai polis yang apa jua pun pangkatnya, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] dan yang sedemikian hendaklah sebagai tambahan kepada kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77] dan bukannya pengurangan.

Ordinan turut memperuntukkan kuasa untuk mengecualikan seseorang profesional jagaan kesihatan yang dikawal selia di bawah undang-undang dalam jadual daripada kehendak untuk mematuhi alamat tempat amalan utama yang dinyatakan dalam mana-mana perakuan amalan tahunan atau yang setaranya.

Ia juga memberikan kerajaan dan pegawai awam kekebalan tidak boleh mengambil tindakan guaman, pendakwaan atau apa-apa prosiding lain.

Pilihan raya parlimen

Bagi tempoh darurat berkuat kuasa, kekosongan di kalangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang perlu mengadakan pilihan raya dalam masa 60 hari di bawah Artikel 54, Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan.

"Bagi mengelakkan keraguan, selama tempoh darurat berkuat kuasa, Fasal (3) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan hendaklah mempunyai kesan seolah-olah perkataan "selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar" telah dipotong.

Ini secara rasmi membebaskan perdana menteri daripada memanggil pilihan raya sehigga darurat berkuat kuasa.

Perkara yang sama diguna pakai kepada ketua menteri dan menteri besar.

Persidangan parlimen

Ordinan menyatakan bahawa selama darurat berkuat kuasa, peruntukan yang berhubungan dengan memanggil, memprorog dan membubarkan parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai kesan dan parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mana-mana mesyuarat parlimen yang telah dipanggil sebelum tarikh permulaan kuat kuasa Ordinan ini tetapi belum diadakan adalah dibatalkan.Ordinan menyentuh pelbagai isu kerajaan secara meluas termasuk penggantungan pilihan raya parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), kuasa kepada eksekutif membuat peraturan, penubuhan jawatankuasa khas bebas, kuasa pengambil milikan sementara aset, sumber dan kuasa tambahan kepada angkatan tentera dan kuasa tambahan arahan kepada rawatan, imunisasi, pengasingan, pemerhatian dan pengawasan (berkait dengan Covid-19).

Kuasa untuk membuat peraturan

Bagi tempoh darurat berkuat kuasa, Yang di-Pertuan Agong boleh membuat peraturan-peraturan sebagaimana yang perlu atau suai manfaat bagi maksud melaksanakan peruntukan Ordinan ini. Kuasa yang diberikan di bawah Ordinan ini adalah tambahan kepada undang-undang bertulis yang lain yang sedang berkuat kuasa.

"Kuasa yang diberikan di bawah Ordinan ini adalah tambahan kepada undang-undang bertulis yang lain dan bukanlah sebagai menggantikan, kuasa yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain yang sedang berkuat kuasa."

Sekiranya, terdapat apa-apa percanggahan atau ketidakselarasan antara peruntukan Ordinan ini dengan mana-mana undang-undang bertulis yang lain, peruntukan Ordinan ini mengatasi dan peruntukan undang-undang bertulis yang lain yang bercanggah dan tidak selaras itu hendaklah disifatkan digantikan setakat percanggahan atau ketidakselerasan itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS