KWSP digesa tangani kerugian dalam saham amanah
DAP hari ini menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil tindakan segera terhadap kerugian RM600 juta dalam pelaburan saham amanah sejak 1996.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tindakan KWSP membenarkan kerugian yang berterusan adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab, tidak beretika dan pecah amanah terhadap caruman para pekerja.
"DAP kesal dengan kegagalan KWSP mengambil tindakan segera terhadap prestasi lembab pelaburan saham amanah di mana ia jatuh sebanyak RM600 juta dari RM9.76 bilion apabila ia diperkenalkan kepada RM9.15 bilion akhir tahun lalu," katanya.
Lim berkata demikian kepada wartawan selepas mengetuai delegasi DAP menghantar memorandum kepada Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Azlan Zainol di ibu negara petang ini. Memorandum itu diterima oleh Timbalan CEO (Pengurusan & Pembangunan Organisasi) Rusma Ibrahim bagi pihak Azlan.
Beliau berkata, sehubungan itu KWSP perlu mengenepikan 34 pelaburan saham amanah yang mengalami kerugian dan hanya mengekalkan sembilan pelaburan yang untung.
Katanya, dengan cara ini sahaja mereka dapat melindungi kepentingan pencarum selain memastikan pelaburan mereka menguntungkan.
Dalam memorandum itu, DAP juga menggesa KWSP menaikkan kadar dividen dari lima peratus sekarang ini kepada lapan dan 8.5 peratus yang pernah dinekmati pada tahun 1980 hingga 1994.
Sementara itu, Pengurus Kanan Perhubungan Awam, Jabatan Khidmat Korporat KWSP, Nik Affendi Jaafar ketika ditemui berkata, pihaknya telah memberi penjelasan panjang lebar kepada delegasi DAP itu mengenai situasi yang berlaku dalam pelaburan KWSP.
Katanya, mereka menerima baik penerangan tersebut tetap menegaskan KWSP akan mengkaji secara teliti isi kandungan yang dihantar oleh DAP itu.
"Sebenarnya kami sangat prihatin dengan apa yang berlaku terhadap pelaburan dalam saham amanah," katanya.

