Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kementerian Kesihatan (KKM) kini sedang mempersiapkan rangka integrasi sektor swasta dalam mekanisme respons Covid-19 yang dilaksanakan kerajaan.

Difahamkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) di bawah KKM telah mewujudkan satu "model konsepsi" untuk integrasi klinik swasta, pembekal khidmat e-hailing, pembekal ambulans swasta dan hospital swasta.

Malaysiakini difahamkan tiga pembekal khidmat kesihatan swasta terbesar negara - IHH Healthcare Bhd, Ramsay Sime Darby Healthcare dan KPJ Healthcare Bhd - telah diberi taklimat oleh CPRC berkenaan perkara ini semalam.

Bagaimanapun belum ada yang muktamad. Sumber memberitahu Malaysiakini hospital swasta kini sedang bergegas untuk mematuhi dan membuat persediaan untuk satu lagi rundingan dengan pihak berkuasa hujung minggu ini.

Model yang dicadangkan mengklasifikasikan hospital swasta kepada sama ada "hospital Covid-19" atau "hospital bukan Covid-19 - serupa seperti apa yang digunapakai dalam hospital kerajaan.

Hospital swasta juga akan ditugaskan untuk menjaga "kumpulan pesakit khas" termasuk kakitangan kesihatan, diplomat dan "VIP".

Dalam dokumen taklimat yang dilihat Malaysiakini, KKM mencadangkan strategi berbeza untuk kes Covid-19 yang teruk dan ringan.

Bagi kes ringan - mereka yang tiada gejala (Kategori 1) dan gejala ringan (Kategori 2) - mereka perlu membuat pemantauan sendiri di rumah menggunakan aplikasi MySejahtera.

Pusat kuarantin di Maeps

Sejak 12 Jan, KKM tidak lagi menempatkan pesakit kategori ini di pusat kuarantin, sebaliknya mengarahkan mereka untuk menjalani kuarantin kendiri.

Jika keadaan mereka bertambah buruk, mereka akan dibawa ke hospital dengan ambulans yang dikendalikan kerajaan, pihak swasta atau NGO.

Tiada perincian berkenaan prosedur operasi standard (SOP) yang terlibat atau siapa yang akan menanggung perjalanan itu. Malaysiakini telah menghubungi syarikat terlibat untuk mendapat penjelasan.

Koordinasi untuk kes Covid-19 ringan akan dikendalikan Pusat Penilaian Covid-19 KKM.

'Pecah dan perintah'

Kes Covid-19 yang berat pula - mereka yang mempunyai gejala serius (Kategori 3), pneumonia dan memerlukan bantuan pernafasan (Kategori 4) serta mempunyai penyakit kritikal dengan kegagalan organ (Kategori 5) - akan dirawat di pusat kuarantin, hospital kerajaan atau hospital swasta.

Menurut dokumen bertarikh 14 Jan itu, hospital swasta kategori Covid-19 dibahagikan kepada tiga kategori:

  • Merawat pesakit bergejala ringan.
  • Merawat pesakit serius atau kritikal yang perlukan katil ICU.
  • Merawat semua kategori pesakit.

Apa-apa pun, hospital ini perlu terus merawat pesakit Covid-19 selagi mereka memerlukan rawatan. Ini bermakna hospital ini dilarang untuk merujuk atau memindah pesakit ke hospital kerajaan.

Hospital swasta juga akan dimestikan menerima pesakit Covid-19 baru "terutama dalam Kategori 3" (pesakit dengan gejala serius).

Bagi hospital swasta bukan kategori Covid-19, kerajaan mencadangkan agar mereka mengambil pesakit di hospital kerajaan.

Ini termasuklah:

  • Pesakit kecemasan daripada hospital Covid-19 kerajaan.
  • Pesakit yang memerlukan pembedahan elektif, terutama separa-kecemasan dan berkaitan kanser.
  • Pesakit yang memerlukan prosedur perubatan elektif, terutama separa-kecemasan.

Hospital ini jua perlu mengambil "sebahagian" pesakit luar yang dirawat doktor pakar di hospital kerajaan.

Selain perkongsian kemudahan, KKM turut mencadangkan agar hospital swasta membenarkan sebahagian jururawat pakar ditempatkan di hospital kerajaan. Kakitangan hospital swasta lain akan turut dimobilisasi dan dilatih untuk membantu usaha rawatan wabak ini.

Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan KKM telah memulakan rundingan dengan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Antara cadangannya adalah agar hospital swasta memperuntukkan 10 peratus katil ICU dan wad biasa untuk pesakit Covid-19.

Antara pilihan bayaran yang dibincangkan adalah mewajibkan syarikat insurans membuat bayaran untuk pesakit yang memiliki kad perubatan atau pesakit membayar sendiri jika mereka dirawat di hospital swasta.

Pusat kawalan bersepadu

Satu lagi ciri pelan integrasi adalah untuk terus menyediakan ruang dalam Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

KKM turut mencadangkan agar industri menyediakan PKRC sendiri. Tiada pencirian berkenaan perkara ini dalam dokumen taklimat tetapi pihak berkuasa pada masa ini sedang menggesa majikan menyediakan sendiri temat kuarantin untuk pekerja berisiko rendah yang positif.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini mencadangkan agar PKRC sedia ada digunakan untuk kuarantin pekerja migran yang tinggal di tempat yang tidak sesuai untuk kuarantin kendiri.

Semua kemudahan dalam model ini - sama ada PKRC, hospital kerajaan dan juga swasta - akan berada d bawah "pusat kawalan bersepadu" KKM.

Pusat ini - yang mengendalikan kes serius - akan bekerjasama dengan Pusat Penilaian Covid-19 yang mengendalikan kes ringan.

Di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, cabang eksekutif negara kini boleh mengambil alih sementara tanah, bangunan atau aset sepanjang tempoh penguatkuasaannya.

Ia juga boleh mengambil alih secara sementara sumber - termasuk tenaga kerja, kemudahan dan aset - yang dianggap wajar.

Mereka yang melanggar peruntukan untuk penyitaan aset dan sumber akan dikenakan denda RM5 juta atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS