Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis denda penganjur program edar ayam beku percuma
Diterbitkan:  Jan 16, 2021 7:13 AM
Dikemaskini: 7:37 AM

Polis hari ini mendenda penganjur program "pengedaran ayam beku percuma" yang berlangsung di Putrajaya pada hari Khamis.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Mohd Fadzil Ali berkata, program itu tidak mendapat kelulusan polis dan Putrajaya ketika ini berada di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Program pengedaran ayam beku percuma itu dibuat secara pandu lalu dengan konsep first come first serve dan telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan kehadiran ramai orang di lokasi program.

"Hasil pemeriksaan pihak polis mendapati penjarakan fizikal sukar dilaksanakan dalam kalangan hadirin serta Prosedur Operasi Standard (SOP) gagal dipatuhi oleh pihak penganjur dan orang awam yang hadir," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Fadzil penganjur dikompaun di bawah Seksyen 22 (B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang menyenaraikan kesalahan umum di bawah Akta tersebut.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dalam menguatkuasakan undang-undang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi segala arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi tujuan membendung seterusnya memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini," katanya.

Kawasan Presint 9, Putrajaya dilaporkan dikerumuni orang ramai pada hari Khamis lalu kerana program "pengedaran ayam beku percuma" yang dianjurkan oleh Pemuda Umno Putrajaya.

Gambar kesesakan lalu lintas menunjukkan kereta dan motosikal beratur panjang untuk mendapatkan ayam beku percuma tular di media sosial. Ini telah mencetuskan kebimbangan netizen mengenai kluster Covid-19 baru digelar 'kluster ayam beku'.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS