Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Malaysia kehilangan seorang tokoh perundangan ulung yang amat dihormati, bekas Ketua Hakim Negara Dr Mohamed Salleh Abas yang dijemput Ilahi hari ini.

Kehilangan besar itu berlaku pada pukul 3.20 pagi tadi selepas Mohamed Salleh, 91, yang merupakan Pengerusi as-Salihin Trustee Bhd menghembuskan nafas terakhirnya akibat pneumonia di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

Dilahirkan pada 25 Ogos, 1929 di Besut, Terengganu, Mohamed Salleh yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang daripada Universiti of Wales, United Kingdom menyertai perkhidmatan perundangan pada 1957, sebelum kembali semula ke Britain untuk mendapatkan Ijazah Sarjana dalam Undang-Undang Antarabangsa dan Perlembagaan di University of London.

Mohamed Salleh merupakan seorang yang dihormati sepanjang kerjayanya di dalam perkhidmatan awam. Beliau mula berkhidmat sebagai seorang majistret di Kota Bharu, Kelantan sebelum dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Cara Negara di Jabatan Peguam Negara.

Beliau dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada tahun 1982 sebelum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan) pada usia 50 tahun. Beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 dan memegang jawatan itu sehingga 1988.

Bekas ketua hakim itu dipilih sebagai Adun Jertih selepas memenangi kerusi itu dalam PRU 1999 menggunakan tiket PAS tetapi tidak bertanding dalam PRU 2004 di atas faktor kesihatan.

Beliau meninggalkan isteri Toh Puan Junaidah Wan Jusoh, lima anak dan 26 cucu. Isteri pertama beliau Toh Puan Azimah Mohd Ali, meninggal dunia pada 2016.

Mohamed Salleh adalah salah seorang tokoh utama yang membantu merangka Rukun Negara pada tahun 1970.

Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos, 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, menjadi asas kepada keharmonian antara rakyat Malaysia selepas rusuhan kaum berdarah pada 13 Mei 1969.

Mohamed Salleh pernah dilaporkan berkata hasratnya adalah agar Rukun Negara terus dihormati dan diamalkan supaya Malaysia kekal sebuah negara yang stabil dan beliau juga berharap generasi muda akan melebarkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa untuk menjadikan Malaysia lebih dihormati.

Episod hitam jadi peringatan

Pemecatan Mohamed Salleh daripada jawatannya pada Ogos 1998 selepas beliau menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pihak hakim-hakim lain yang menzahirkan kekecewaan terhadap tuduhan tertentu yang dibuat perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjadi satu episod hitam dalam sejarah badan kehakiman negara.

“Anda akan menghancurkan demokrasi jika anda memusnahkan badan kehakiman” antara pesanan tegas Mohamed Salleh apabila mengulas mengenai krisis kehakiman itu.

Lima hakim Mahkamah Persekutuan yang ketika itu dikenali sebagai Mahkamah Agung juga digantung tugas pada Julai tahun itu tetapi tiga daripada mereka dikembalikan semula jawatan pada Oktober sementara dua lagi dipecat.

Krisis itu dicetuskan oleh pembentangan rang undang-undang di Dewan Rakyat untuk meminda Artikel 121 dan 145 Perlembagaan Persekutuan untuk mengurangkan kuasa mahkamah daripada kuasa kehakiman persekutuan.

Mohamed Salleh juga menzahirkan harapannya bahawa krisis itu akan menjadi peringatan kepada generasi sekarang dan akan datang tentang keperluan memiliki suatu badan kehakiman yang teguh dan bebas.

Pada 2008, Mohamed Salleh menerima pembayaran ex-gratia daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim di atas pemecatannya daripada jawatan Ketua Hakim Negara dalam tahun 1988.

Kerajaan bersetuju untuk membuat pembayaran ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada hakim-hakim yang dipecat semasa krisis badan kehakiman itu dengan mengambil kira pandangan peribadi dan kesusahan yang ditempuhi mereka.

-Bernama

Lihat Komen
ADS