mk-logo
Berita
Keputusan saat akhir KPM susahkan semua, kata Pemuda Amanah
Diterbitkan:  Jan 17, 2021 3:02 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda Amanah, Hasbie Muda, membidas Menteri Pendidikan Radzi Jidin atas keputusan "saat akhir" kerajaan untuk hanya membenarkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting hadir ke sekolah.

Hal itu menurut Hasbie menyusahkan banyak pihak, sedangkan peningkatan kes positif Covid-19 pada kadar empat angka bukan baru berlaku.

Sepatutnya kata Hasbie Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh membuat unjuran lebih awal.

“Pemuda Amanah kesal kerana pengumuman yang penting ini dibuat dalam selang waktu yang begitu singkat sebagaimana pengumuman-pengumuman mengejut Radzi sebelum ini.

“Amalan kerja saat akhir ini menyusahkan ramai pihak terutama ibu bapa, guru dan murid semasa mereka membuat persediaan.

“Trend kes Covid-19 yang semakin meningkat ke empat angka bukan baru bermula semalam. KPM sepatutnya sudah boleh membuat unjuran lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, kes baru mencatatkan angka empat digit secara berturut-turut setiap hari sejak awal Dis lalu.

KPM semalam mengumumkan yang sesi persekolahan bersemuka - sepatutnya bermula 20 Jan ini - akan hanya membabitkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan utama, bukan seperti yang baru diumum Radzi beberapa hari lalu.

Ia melibatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan setaraf yang lain.

Keputusan itu diambil selepas perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta merujuk kepada trend kes Covid-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Pada 11 Jan lalu KPM mengumumkan hanya pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 4 di negeri-negeri yang akan dikuatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) kedua perlu meneruskan pembelajaran secara dalam talian di rumah.

Sementara negeri yang tidak berada di bawah PKP 2.0, sepatutnya boleh meneruskan jadual pembelajaran masing-masing, kecuali pelajar tingkatan dua dan tiga yang sepatutnya hanya dibenarkan ke sekolah bermula 8 Mac.

“Semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Jan,” menurut kenyataan terbaru semalam.

Mengenai pelajar yang sudah mula mendaftar di asrama hari ini, KPM membuat beberapa ketetapan antaranya pelajar tingkatan 4 dan 5 sekolah berasrama penuh boleh kekal di asrama dan mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian di sekolah atau pulang ke rumah dan mengikuti PdPR.

Kata Hasbie, KPM perlu sedar masalah capaian jalur lebar yang masih rendah di kawasan pedalaman serta penyediaan PdPR yang di luar kemampuan sebahagian guru, murid dan ibu bapa.

Dia turut mencadangkan KPM memperbanyak rancangan pendidikan di saluran percuma yang menurutnya terlalu sedikit buat masa ini.

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan, Wilayah Persekutuan dan daerah Sibu di Sarawak.

PKP di Kelantan berkuat kuasa 16 hingga 25 Januari, Sibu dari 16 hingga 29 Januari, manakala yang lain bermula 13 hingga 26 Jan. 

Lihat Komen
ADS