PM arah Pemuda Umno PP segera tubuh konsortium
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang segera menubuhkan konsortium yang 100 peratus dianggotai syarikat Bumiputera untuk merebut peluang dalam pembangunan koridor wilayah utara.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang segera menubuhkan konsortium yang 100 peratus dianggotai syarikat Bumiputera untuk merebut peluang dalam pembangunan koridor wilayah utara.
Serentak dengan itu, Perdana Menteri mengingatkan syarikat-syarikat Bumiputera yang diberi peluang dalam pembangunan ekonomi supaya mengelak daripada menyerahkan projek mereka kepada orang lain.
Abdullah berkata cadangan penubuhan konsortium itu perlu disegerakan supaya pembangunan koridor wilayah utara yang akan dilaksanakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Sime Darby Berhad dapat disertai oleh konsortium itu.
"Mereka (Sime Darby) sudah rancang dan akan beri notis kepada saya untuk mengemukakan draf pertama rancangan mereka. Saya alu-alukan cadangan Pemuda Umno negeri, saya harap mereka kemukakan secepat mungkin cadangan yang ada dalam fikiran mereka." katanya.
" Konsortium itu perlu menjadi peneraju kemajuan pembangunan ekonomi perniagaan dan perusahaan. Ia mesti mengambil peluang untuk membangunkan koridor wilayah utara yang meliputi Perlis, Kedah, Seberang Perai dan Perak Utara," tegasnya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian itu di Kepala Batas hari ini.
Menurut laporan Bernama, Abdullah yang juga Ketua Umno bahagian Kepala Batas berkata koridor itu yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan akan memberi perhatian khusus kepada pembangunan kawasan yang mempunyai ramai penduduk Melayu dan kawasan pertanian.
Mengulas lanjut tentang amalan "mengalibabakan" projek, Presiden Umno itu berkata, perbuatan itu akan membantutkan usaha kerajaan meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu.
Katanya jawatankuasa khas Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri akan memantau ketirisan dalam projek-projek yang diberikan kepada syarikat bumiputera kerana ia memberi kesan yang tidak baik.
"Semua pihak perlu beri perhatian kepada perkara itu. Kalau diberi peluang, jangan diserah kepada orang lain. Ini bukan cara yang digalakkan, kalau kita ambil peluang kita sendiri melaksanakannya," katanya

