Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PGA Kelantan tahan wanita, rampas pokok hiasan di tebing Sg Golok

Pasukan Gerakan Am (PGA) Kelantan menahan seorang wanita dan merampas pokok hiasan bernilai RM102,900 yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dalam operasi berhampiran pangkalan haram Jeram Perdah 1, dekat Pasir Mas malam semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-9 PGA Supt Nor Azizan Yusof berkata wanita berusia 46 tahun itu ditahan kira-kira jam 8 malam ketika berada di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang memuatkan puluhan bungkusan pokok hiasan berkenaan.

“Pasukan PGA yang membuat risikan di sempadan ternampak kenderaan itu memasuki pangkalan haram di tebing Sungai Golok berkenaan kira-kira 7.30 malam.

"Semasa membuat intipan, anggota PGA ternampak sebuah bot dari arah negara jiran menghampiri pangkalan itu.

“Beberapa lelaki kemudian dilihat memindahkan bungkusan dari dalam kenderaan tersebut ke atas bot namun bertindak melarikan diri dengan menaiki bot itu dan memecut ke arah negara jiran apabila menyedari kehadiran anggota PGA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nor Azizan kesemua barangan rampasan dan kenderaan telah ditahan di Balai Polis Jeram Perdah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Anggaran nilai pokok hiasan dan kenderaan yang dirampas ialah RM142,900 termasuk RM102,900 nilai pokok hiasan saja," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS