Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin bentang pakej bantuan untuk PKP 2.0
Diterbitkan:  Jan 18, 2021 5:46 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM15 bilion yang disediakan bagi membantu rakyat berdepan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.

Pakej itu lebih rendah berbanding pakej rangsangan RM250 bilion dengan RM25 bilion suntikan fiskal langsung seperti diumumkan selepas PKP kali pertama Mac tahun lalu.

Kata perdana menteri kerajaan menjangkakan kesan ekonomi akibat PKP 2.0 tidak seperti yang dialami ketika PKP 1.0 memandangkan kali ini lebih banyak sektor perniagaan dibenarkan beroperasi.

Semakan terhadap pakej tersebut menunjukkan kebanyakan apa yang dibentangkan Muhyiddin petang ini memang sudah merupakan sebahagian daripada Belanjawan 2021.

Selebihnya merupakan penambahbaikan daripada pakej rangsangan sedia ada.

Bagi membiayai pakej bantuan terbaru itu, kata Muhyiddin , kerajaan akan membuat penjajaran semula peruntukan sedia ada, memberikan bayangan perubahan akan dibuat terhadap Belanjawan 2021.

Antara langkah yang disasarkan buat rakyat awam termasuklah:

1) Bayaran fasa terakhir Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) berjumlah RM2.38 bilion kepada 11.1 juta penerima akan dipercepat.

2) Bayaran fasa pertama untuk Bantuan Prihatin Rakyat kepada 8 juta penerima dengan pendapatan isi rumah bawah RM5 juta (Belanjawan 2021).

3) Bakul makanan bernilai RM100 kepada setiap isi rumah yang layak, dengan peruntukan RM50 juta.

4) Geran padanan bersama GLC/GLIC bagi inisiatif sosial bernilai RM25 juta.

5) Pelepasan cukai kepada penderma.

6) Moratorium bersasar seperti diumumkan sebelum ini (Pakej Rangsangan PKP 1.0).

7) Penambahbaikan pengeluaran i-sinar KWSP, dengan bayaran pendahuluan RM1,000 dipercepatkan.

8) Pelepasan cukai RM2,500 untuk pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet (Belanjawan 2021)

9) Internet percuma 1GB dilanjutkan dari 1 Jan ke hujung April (Pakej Rangsangan PKP 1.0).

10) Pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang dilanjutkan sehingga 30 Jun (Pakej Rangsangan PKP 1.0).

11) Membenarkan peminjam PTPTN yang terjejas untuk memohon moratorium bayaran balik pinjaman selama tiga bulan (Pakej Rangsangan PKP 1.0).

12) Bantuan kewangan one-off sebanyak RM500 kepada 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas persiaran, bas sekolah, kereta sewa, dan pemandu e-hailing.

PKP 2.0 dikuatkuasakan untuk mengawal pergerakan bagi membendung penularan Covid-19, bermula 13 Jan dan dijadual tamat pada 26 Jan, tertakluk kemungkinan untuk dilanjutkan lagi.

Dari aspek perniagaan pula, Muhyiddin berkata kerajaan akan menambah baik program subisidi upah yang diumumkan semasa PKP 1.0, iaitu semua syarikat yang beroperasi dalam kawasan PKP 2.0 kini boleh membuat permohonan, tidak kira sektor apa pun.

Melalui skim itu, kerajaan akan mengsubsidikan RM600 daripada upah pekerja jika mereka bergaji kurang daripada RM4,000.

Kata Muhyiddin, program itu turut ditambah baik dengan meningkatkan jumlah pekerja yang layak bagi setiap syarikat, daripada 200 kepada 500 orang pekerja.

Katanya, ia akan melibatkan peruntukan tambahan RM1 bilion dan memanfaatkan 250,000 majikan yang menggaji lebih 2.6 juta pekerja.

Muhyiddin berkata kerajaan akan turut melonggarkan syarat permohonan bagi sistem insurans pekerjaan (SIP).

Di bawah penambahbaikan itu, pekerja kontrak yang tidak dilanjutkan kontrak mereka setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya tiga kali, sekarang layak memohon untuk mendapat manfaat program berkenaan.

Mereka akan mendapat 30 peratus daripada gaji mereka selama tiga bulan.

Muhyiddin turut mengulangi pendekatan Belanjawan 2021 untuk turut merangkumkan golongan penghantar makanan ke Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Perkeso.

Bagi geran khas bernilai RM1,000 bagi membantu peniaga dan penjaja di Sabah seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, ia kini akan diperluas kepada semua negeri di bawah PKP 2.0.

Geran itu sebelum ini diumumkan apabila Sabah menjadi negeri paling teruk terjejas akibat Covid-19, tetapi keadaan wabak kini semakin memburuk di beberapa negeri lain, terutamanya di Lembah Klang. 

Lihat Komen
ADS