Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kadar faedah pinjaman mungkin diturunkan Rabu ini
Diterbitkan:  Jan 18, 2021 7:02 PM
Dikemaskini: 11:02 AM

Penganalisis mempunyai pandangan bercampur-campur mengenai pendirian Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM yang dijadualkan Rabu ini.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata bank pusat itu berkemungkinan akan mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas semasa mesyuarat itu.

"Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di Malaysia masih belum berkurangan, ia telah menyebabkan pelakasanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu di negeri yang berada dalam zon merah.

"Ini akan mengakibatkan kehilangan output kerana sekatan perjalanan itu.

"Sehubungan itu, unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.5 peratus kepada 7.5 peratus bagi tahun 2021 nampaknya tidak mampu dicapai," katanya.

Mohd Afzanizam berkata, keadaan memerlukan sokongan dasar yang lebih banyak serta pengurangan OPR dan keperluan rizab berkanun (SRR) juga dapat membantu mengaktifkan semula pertumbuhan trajektori yang dijangka pada 2021.

Beliau berkata, OPR pada masa ini berada pada 1.75 peratus dan BNM mengurangkan 125 mata asas dalam OPR antara Januari dan Julai pada 2020.

Kementerian Kesihatan mencatatkan sebanyak 3,339 jangkitan Covid-19 baharu pada 17 Januari, berbanding 4,029 kes pada hari sebelumnya menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini kepada 158,434 kes.

Tujuh lagi kematian dicatatkan pada hari Ahad lepas, tiga dari Selangor, dua dari Johor dan satu kematian dicatatkan masing-masing di Negeri Sembilan dan Kedah, ia menyebabkan jumlah kematian melebihi 600 hingga 601 kes atau 0.83 peratus daripada jumlah jangkitan.

Susulan daripada keadaan semasa, Mohd Afzanizam berkata pengurangan OPR mungkan akan berlaku sekali lagi.

"Semua orang akan tertumpu kepada PKP dan berapa lama ia akan berlangsung serta bila Malaysia akan menjalankan program suntikan vaksin kerana ia akan menentukan jangka masa pembukaan semula ekonomi," katanya.

Mengenai kesan kepada bank sekiranya OPR diturunkan lagi, Mohd Afzanizam berkata pada masa sebelum ini pemampatan margin faedah bersih tidak dapat dielakkan berikutan penyelarasan dilakukan antara kadar pembiayaan dan kadar deposit.

"Kadar pembiayaan disemak semula dengan segera untuk kontrak pembiayaan yang berubah-ubah sementara simpanan tetap akan memerlukan sedikit masa untuk diselaraskan menjadikannya lebih rendah.

"Contohnya kadar deposit hanya akan disemak semula menjadi lebih rendah selepas tempoh matang deposit," katanya.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata BNM mungkin tidak mengurangkan kadar ketika ini tetapi memberi isyarat bahawa pengurangan akan berlaku pada tempoh lain tahun ini untuk menyelaraskannya dengan pembukaan semula ekonomi apabila vaksin sudah tersedia.

"Nampaknya wujud konsensus yang kukuh untuk pengurangan kadar selepas pelaksanaan semula PKP kerana ia akan menjejaskan ekonomi.

"Saya berpendapat bahawa input mengenai dasar, seperti pengurangan kadar faedah adalah kurang berkesan semasa ketika PKP, bagaimanapun pada masa yang sama pengurangan itu dapat membantu ekonomi," katanya.

Innes berkata, BNM telah mengambil maklum mengenai penularan semula Covid-19 yang menimbulkan risiko dan kekal komited menggunakan penggerak dasar bagi menyokong pemulihan ekonomi yang mampan.

Beliau berkata sekatan mobiliti kepada 85 peratus daripada ekonomi negara dengan pelaksanaan PKP dan PKP Bersyarat (PKPB), kadar KDNK pada suku pertama akan menjadi signifikan dan pengurangan kadar mungkin akan berlaku.

"Saya jangka pengurangan OPR akan berlaku juga tahun ini tetapi jika BNM melakukan tindakan awal.

"Saya berpendapat ia merupakan langkah-langkah yang pelbagai dan ia bukan isyarat menunjukkan pelonggaran dasar maka tidak memberi kesan negatif kepada pasaran mata wang," katanya.

Standard Chartered baru-baru ini berkata BNM mungkin akan mengekalkan OPR pada tahun 2021 selepas penurunan sebanyak 125 mata asas pada tahun 2020 kerana bank pusat kelihatan mahu mengekalkan kedudukannya sekarang.

Sementara itu, OCBC Bank hari ini berkata pihaknya menjangka BNM akan menurunkan OPR dengan lebih rendah, BNM dijangka menurunkannya kepada 1.5 peratus daripada 1.75 peratus ketika ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS