Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan persekutuan tidak menolak kemungkinan untuk meminda undang-undang lebih tegas dalam penguatkuasaan terhadap golongan Lesbian Gay Bisexual Transexual (LGBT).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia supaya lebih memberi kesan terhadap usaha membanteras setiap aktiviti dan salah laku golongan berkenaan.

Menurutnya, ia akan membabitkan pindaan melalui Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang dikenali sebagai RUU355.

"Kita tidak menolak kemungkinan untuk buat pindaan kepada kadar hukuman sedia ada supaya lebih memberi kesan kepada mereka.

"Setakat ini di bawah Akta 355, kita hanya ada hukuman tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.

"Barangkali selepas daripada ini kita dapat proses meneruskan perkara tersebut untuk kita tingkatkan lagi hukuman.

"Ia memang perlu (pindaan) dan buat masa ini kita menerima pakai enakmen sedia ada," katanya kepada media ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan food bank oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Kota Bharu, hari ini.

Ahmad Marzuk yang juga anggota parlimen Pengkalan Chepa berkata demikian sebagai mengulas isu keberkesanan terhadap penguatkuasaan berkait dengan golongan LGBT.

Selain itu tegasnya, orang awam juga perlu memberi kerjasama dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berhubung aktiviti songsang golongan tersebut.

"Sesiapa sahaja boleh membuat laporan (aktiviti) yang mereka lihat di media sosial atau secara nyata, laporan ini sangat penting sebagai pemula langkah penguatkuasaan dan proses pendakwaan.

"Masyarakat termasuk golongan ibu bapa perlu sedar tentang perlakuan anak-anak mereka dan pihak berkepentingan dalam pendidikan perlu berwaspada dan jadikan agenda bersama untuk kita mencegah," katanya.

Sementara itu ditanya perkembangan isu perkahwinan seorang gadis muslim dari Johor dengan lelaki yang dipercayai beragama Sikh dari India baru-baru ini, Ahmad Marzuk berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat sebarang perkembangan terperinci.

"Setakat ini kita serahkan isu ini kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor, kita belum lagi menerima laporan lengkap dan kita masih menunggu.

"Saya tidak pasti sama ada dia sudah balik ke Malaysia atau belum. Saya difahamkan pihak keluarga (wanita) sudah berusaha untuk membawa pulang segera selepas isu ini timbul," jelasnya.

Lihat Komen
ADS