Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Masalah teknikal' jadi alasan PPE tak diserahkan ke hospital

Bekas presiden Ahli Lembaga Pelawat Hospital Seri Manjung, Mohd Azrien Mohd Salleh menjelaskan mengenai kontroversi berkaitan penyerahan 700 peralatan perlindungan diri (PPE).

Bercakap kepada Malaysiakini Mohd Azrien berkata peruntukan sebanyak RM10,500 untuk membeli PPE itu telah dipindahkan ke akaun bank lembaga itu semalam.

Ahli Parlimen DAP Beruas, Ngeh Koo Ham memperuntukkan wang berkenaan yang dipindahkan ke akaun lembaga itu pada 19 April 2020, empat hari setelah Mohd Azrien membuat permintaan untuk mendapatkan PPE.

Minggu lalu, pembantu Ngeh membuat laporan polis berhubung perkara itu bagi menggesa siasatan mengenai kemungkinan penyalahgunaan dana.

Mohd Azrien berkata, PPE berkenaan tidak dapat diserahkan kerana "masalah teknikal."

"Pembekal dari Malaysia. Dia order barang dari China. Barang tak sampai. Jadi saya arah pembekal refund balik duit.

"So pembekal refund. Ini masalah teknikal. Pembekal berurusan dengan China. Barang tak sampai berikutan Covid-19. Nak ke China pun tak boleh. Jadi pembekal tanggung kerugian," katanya kepada Malaysiakini.

Tempoh Mohd Azrien memegang jawatan sebagai presiden ahli lembaga pelawat itu berakhir pada April 2020 - bulan yang sama dia membuat permohonan peruntukan tersebut.

Mohd Azrien, yang merupakan anggota Bersatu, kini menjadi ahli majlis perbandaran Manjung.

Dalam satu kenyataan semalam, setiausaha politik Ngeh, Jason Ng berkata Mohd Azrien telah berjanji untuk menyerahkan PPE tersebut dalam masa dua minggu.

"Pengarah Hospital Seri Manjung mengirim surat kepada Ahli Parlimen Beruas pada 12 Januari, dengan mendakwa bahawa tiada PPE yang diterima setelah sembilan bulan, walaupun pihak pengurusan hospital menemui rekod dana yang diperuntukkan oleh Ngeh ke akaun mereka.

"Pihak pengurusan hospital bertanya apakah Ngeh menarik kembali peruntukan itu. Ngeh menjawab dia tidak menarik balik dana itu, dan dia kemudian mengarahkan setiausaha khasnya untuk membuat laporan polis.

"Kami juga diberitahu bahawa hospital membuat laporan polis pada akhir tahun lalu," katanya.

Ketua Polis Daerah Manjung, Nor Omar Sappi dilapor berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan jenayah pecah amanah.

Lihat Komen
ADS