Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR: Malaysia bukan lagi pilihan pelabur, Zafrul usah 'tumpang nama'
Diterbitkan:  Jan 20, 2021 10:36 AM
Dikemaskini: 2:39 AM

Perkembangan terkini membuktikan Malaysia bukan lagi pilihan pelabur asing dalam sektor automotif yang kini memilih untuk menanam modal di negara jiran, kata seorang pemimpin PKR.

Menurut Syed Ibrahim Syed Noh, pembukaan pusat pengedaran alat ganti serantau Volkswagen di Tanjung Pelepas, Johor bukanlah ukuran untuk membuktikan ekonomi Malaysia masih kukuh ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

"Namun, perkembangan ini juga merupakan bukti ekonomi dan pelaburan Malaysia masih tidak kukuh.

"Projek pembukaan pusat serantau ini diumumkan semenjak 2016 lagi dan dijadualkan siap pada penghujung tahun 2018.

"Tetapi, atas faktor ekonomi dan hala tuju negara yang tidak meyakinkan, ia hanya dapat beroperasi pada suku pertama tahun 2021. Ia bukan contoh pelaburan asing langsung dalam keadaan pandemik," kata pengerusi PKR Johor itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Syed Ibrahim PKR menggesa kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri agar lebih giat memainkan peranan membawa masuk pelaburan asing ke dalam negara.

Jelasnya kerajaan wajib meneliti dan merangka pelan untuk memanfaatkan pelaburan-pelaburan berkenaan bagi rakyat dan ekonomi Malaysia.

Pada 17 Jan lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam status Facebooknya memuat naik artikel mengenai pembukaan pusat pengedaran alat ganti serantau Volkswagen di Tanjung Pelepas.

Kata senator itu ia menjadi bukti mengenai kedudukan Malaysia sebagai hub perniagaan utama syarikat multinasional.

Dengan infrastruktur yang mantap, katanya, hubungan bertaraf dunia dan bakat yang siap pada masa depan, Malaysia akan menjadi destinasi utama syarikat multinasional yang ingin berkembang ke rantau Asia Pasifik.

Syed Ibrahim yang juga ahli parlimen Ledang berkata Tengku Zafrul tidak wajar mengambil nama atas usaha pihak-pihak terdahulu sebaliknya membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan hari ini berpijak di bumi yang nyata serta mempunyai perancangan kukuh untuk sektor ekonomi negara.

Ahli parlimen Ledang itu menambah aliran pelaburan antarabangsa di rantau Asia yang kini beralih angin ke negara jiran juga wajib diberi perhatian.

"Pakar-pakar ekonomi menyuarakan kebimbangan terhadap pengumuman perintah kawalan pergerakan (PKP) kedua dan pengisytiharan darurat oleh kerajaan yang membawa kesan kepada keyakinan pelabur asing.

"Sebagai contoh, landskap automotif yang dahulunya berkembang pesat dalam Malaysia kini beralih tumpuan ke Thailand, Indonesia dan Singapura.

"Syarikat-syarikat besar seperti Hyundai dan Mercedes-Benz kini cenderung untuk membuka cawangan di negara jiran seperti Thailand dan Singapura," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS