Adun Kukusan daripada Warisan, Rina Jainal berjaya membatalkan satu petisyen pilihan raya oleh calon BN-Umno Chaya Sulaiman.
Mahkamah Pilihan Raya di Tawau, Sabah, membenarkan permohonan Rina itu semasa prosiding yang dijalankan dua hari lalu menerusi Zoom.
Berdasarkan petisyen pilihan raya yang difailkan 19 Oktober tahun lalu, Chaya mendakwa rasuah merupakan sebab Rina berjaya memenangi kerusi Kukusan dengan majoriti hanya 10 undi pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah 2020.
Walau bagaimanapun, berdasarkan permohonan pembatalan bertarikh 16 Nov tahun lepas pula, Rina mendakwa petisyen piihan raya oleh Chaya gagal mengemukakan bukti mencukupi berhubung dakwaan rasuah itu.
Bercakap kepada Malaysiakini, peguam Rina, Raymond Guok mengesahkan hasil pendengaran dalam talian antara pihak-pihak dengan Mahkamah Pilihan Raya di Tawau dua hari lalu.
“Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi (dua hari lalu) dan diputuskan bahawa petisyen pilihan raya itu dibatalkan dengan kos,” katanya.
Peguam itu menambah, pihak-pihak masih menunggu penghakiman penuh daripada mahkamah supaya mereka boleh meneliti asas keputusan secara terperinci.
Peguam Mohd Azhier Farhan Arisin mewakili Chaya.

Dalam hantaran di laman Facebook, Rina meluahkan kesyukurannya dengan keputusan Mahkamah Pilihan Raya itu.
“Alhamdulillah kita menang. Keputusan undi pos memang sangat mengecewakan, namun undi awamlah yang mengangkat kita.
“Walaupun rekod antara majoriti terkecil, percaya pada rezeki, percaya kepada Ilahi. That’s how huge it is (Begitulah besarnya nilai undian),” katanya.
Malaysiakini sedang menghubungi pasukan perundangan Chaya daripada Tetuan Azhier Arisin & Co untuk mendapatkan komen berhubung keputusan itu.
Dalam PRN Sabah 26 Sep tahun lalu, Rina memperoleh 2,834 undi, diikuti rapat oleh Chaya dengan 2,824 undi.
Calon Parti Harapan Sabah Wong Jin Soon pula mendapat 796 undi di tempat ketiga, atau 11.94 peratus undi. Wong kekurangan hanya empat undi saja lagi untuk mengekalkan depositnya.
Ada tujuh calon di Kukusan, yang merupakan kerusi baru berhampiran Tawau. Jumlah keluar mengundi pula hanya pada kadar 53.97 peratus.
