Umno PP mahu Ketua Menteri tunai janji pilihanraya
Seorang pemimpin Umno Pulau Pinang hari ini menegaskan, belum terlambat untuk Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Khoon menunaikan janjinya kepada orang Melayu dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri untuk semua kaum.
Seorang pemimpin Umno Pulau Pinang hari ini menegaskan, belum terlambat untuk Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Khoon menunaikan janjinya kepada orang Melayu dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri untuk semua kaum.
Ketua Umno bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang menyifatkan teguran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap Dr. Koh Sabtu lalu sebagai sangat tepat mendakwa, Dr Koh sudah lupa janji pilihan raya lepas iaitu mahu mewujudkan program khusus untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu di Pulau Pinang.
Perdana Menteri telah menegur kerajaan negeri Pulau Pinang kerana gagal membangunkan negeri itu secara sekata dengan kawasan majoriti Melayu seperti di Balik Pulau terpinggir dari pembangunan.
Ahmad berkata sejak pilihan raya umum lepas sehingga kini, tiada sebarang program yang menjurus ke arah peningkatan usahawan Melayu dan pendidikan anak-anak Melayu serta membasmi kemiskinan orang Melayu di bandar - yang dijanjikan dalam pilihanraya dulu dilaksanakan.
Katanya Koh dan anggota Parlimen Bukit Bendera, Datuk Chia Kwang Chye perlu menunaikan janji mereka sekiranya tidak mahu melihat orang Melayu bertindak menuntut hak mereka.
"Ketua Menteri patut terima teguran itu sebagai nasihat...beliau mesti faham apa yang dimaksudkan itu. Rancangkan segera program untuk pembangunan orang Melayu, bina perumahan di kawasan strategik termasuk di tanah tebus guna dan jangan hanya tumpu kepada perumahan mewah," katanya.
Menurut laporan Bernama, Ahmad juga menegaskan, Dr. Koh harus sedar mengenai kegagalannya menunaikan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri.
Beliau yang juga Anggota Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan mesyuarat Umno bahagian Bukitr Bendera hari ini.
Cybercity dan bioteknologi
Beliau menekankan, Dr. Koh perlu berlaku adil dalam pembangunan perumahan di kawasan tanah tebus guna kerana pembangunan di kawasan itu kini tidak lagi perlu mendapat kelulusan MPPP, sebaliknya diletakkan sepenuhnya di bawah Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD).
Ahmad turut mengingatkan Dr Koh dan Chia bahawa, orang Melayu di Pulau Pinang adalah golongan minoriti yang tertindas dan mereka perlu berhati-hati bermain politik dengan mereka yang tertindas.
Sehubungan itu, beliau mahu Dr. Koh sebagai Ketua Menteri segera mengadakan perbincangan dengan pemimpin Umno untuk merangka program yang dijanjikan itu serta mengambil tahu mengenai masalah orang Melayu.
Ahmad berkata Umno dan orang Melayu di Bukit Bendera selama ini memberi sokongan padu kepada Dr. Koh dalam semangat Barisan Nasional (BN) dan seharusnya beliau sedar mengenai sejarah berhubung persefahaman kontrak sosial di mana Umno memberi peluang kepada Gerakan untuk menerajui kepimpinan Pulau Pinang.
Di dalam ucapannya itu Ahmad turut mendedahkan beberapa projek kerajaan negeri yang didakwanya tidak mempunyai program untuk membantu orang Melayu di pulau itu.
Beliau berkata projek Penang Cyber City (PCC) yang merangkumi Zon Perindustrian Bayan Lepas juga tidak memberi manfaat kepada orang Melayu kerana tidak ada satu pun program yang dikhususkan kepada orang Melayu termasuk tiada kuota khusus untuk saham orang Melayu dan pekerja Melayu di situ.
Selain itu, pembangunan Taman Bioteknologi di Bukit Minyak, Seberang Perai Tengah juga tidak menyediakan program untuk orang Melayu dan sekiranya kerajaan negeri ikhlas mahukan kaum ini turut serta dalam pembangunan itu, ia perlu menyediakan peluang yang bersesuaian kepada mereka.
Ahmad juga menegaskan, draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang yang bertujuan memandu dan merancang pembangunan fizikal khususnya penggunaan tanah di negeri ini sehingga tahun 2020 yang dijangka diwartakan awal tahun depan juga tidak mempunyai pelan khusus untuk pembangunan kawasan Melayu.

