Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isteri Nazri Aziz, anak diuji positif - dalam kuarantin 'paling baik'
Diterbitkan:  Jan 20, 2021 4:31 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Isteri, anak, dan pembantu kepada Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz telah diuji positif Covid-19 dan kini menjalani kuarantin kendiri.

Isteri Nazri, Haflin Saiful, membuat hantaran di Instagram menunjukkan dirinya berada dalam kuarantin di Villa Danialla Beach Resort di Bachok, Kelantan.

"Kuarantin di rumah yang paling baik," tulisnya.

Menurut SOP terbaru Kementerian Kesihatan, pesakit Covid-19  dalam kategori Tahap 1 (tiada gejala) dan Tahap 2 (gejala ringan) perlu menjalani kuarantin di rumah. 

Haflin dalam wawancara mStar berkata dia menjemput Nazri dari lapangan terbang baru-baru ini dan menghantarnya ke hospital pada 18 Januari.

Nazri mengadakan sidang media di Kuala Lumpur pada 12 Januari. Dia terbang ke Kota Bharu pada hari yang sama, sehari menjelang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang melarang merentas sempadan.

Haflin mendedahkan dia bercakap dengan Nazri pada pagi itu dan suaminya memuji petugas kesihatan di Hospital Raja Perempuan Zainab.

"Datuk Seri (Nazri) puji Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) Kota Bharu. Memang first class,"  katanya.

"Sudah tentu saya dijangkiti daripada Datuk Seri sebab saya bersamanya sejak dia pulang. Lepas habis sidang media, Datuk Seri balik ke Kota Bharu.

"Saya melihat perkara ini sebagai satu hikmah. Jadi saya dengan staff kuarantin dalam kawasan villa yang dah ditutup kepada orang ramai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Haflin berkata anak lelakinya yang berusia empat tahun tidak mempunyai gejala Covid-19 dan sangat aktif.

"Saya baik-baik saja, sedang jalani kuarantin di rumah. Saya, anak dan pembantu dijangkiti Covid-19 tahap 1 dan akan menjalani kuarantin selama 10 hari.

"Saya perhatikan, anak pun tak alami demam atau batuk-batuk. Saya pastikan dia kekal aktif... bagi vitamin, minum banyak air dan buah-buahan," jelasnya.

Bagi dirinya, Haflin berkata dia tiada masalah untuk hidup aktif sepanjang kuarantin memandangkan tempatnya tinggalnya ada ruang luas dan terletak di tepi pantai.

"Saya melihat perkara ini sebagai satu hikmah. Jadi saya dengan staff kuarantin dalam kawasan villa yang dah ditutup kepada orang ramai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebelum tahu kena Covid-19, saya sempat berkuda di tepi pantai, buat aktiviti bersenam.

"Syukur kawasan ini agak luas, jadi kakitangan yang negatif pun dapat kuarantin dalam bilik masing-masing," katanya.

Dia menitipkan pesan kepada rakyat Malaysia supaya kekal aktif sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

"Walau apapun situasi, penting untuk kita kekal sihat dan aktif. Walaupun duduk di rumah, boleh buka YouTube dan buat senaman.

"Perlu minum banyak air, elakkan makanan berminyak dan sebagainya. Badan kita kena sentiasa aktif," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS