Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hambali, 2 warga Malaysia berdepan tuduhan rasmi AS
Diterbitkan:  Jan 22, 2021 9:56 AM
Dikemaskini: 1:56 AM

GLOBAL | Selepas hampir 18 tahun ditahan, tiga lelaki yang didakwa terbabit dalam serangan bom di Bali pada 2002 dan Jakarta - setahun kemudian - sudah berdepan pertuduhan rasmi di mahkamah AS.

Menurut kenyataan Pentagon hari ini, tentera AS sudah memfailkan dakwaan tersebut di tribunal tentera.

Ia didedahkan pada hari pertama Joe Biden memulakan tugasnya secara rasmi sebagai presiden AS.

Lelaki terbabit ialah warga Indonesia, Riduan Isamuddin - atau lebih dikenali dengan nama samaran Hambali - yang menjadi salah seorang pemimpin kumpulan Jemaah Islamiyah.

Dua lelaki lain ialah rakyat Malaysia, Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin, yang juga orang kepercayaan Hambali dan pernah mendapat latihan di bawah kendalian kumpulan al-Qaeda.

Laporan AFP menyebut ketiga-tiga mereka berdepan pelbagai tuduhan termasuk melakukan konspirasi, membunuh dan terbabit dalam kumpulan pengganas.

Untuk rekod Hambali, Nazir dan Farik ditangkap di Thailand. Mereka kemudian ditahan lebih 14 tahun di Guantanamo Bay, Cuba.

Mereka dituduh melakukan pengeboman kelab malam di Bali yang mengakibatkan 202 orang maut pada 12 Okt 2002.

Mereka juga didakwa melakukan serangan bom di Hotel JW Mariot di Jakarta pada 5 Ogos 2003. Serangan itu menyebabkan 12 orang maut dan berpuluh-puluh yang lain cedera.

Tidak dapat dipastikan mengapa AS mengambil masa begitu lama sebelum tribunal tentera AS di Guantanamo mengumumkan pertuduhan tersebut.

Pada 2016 Hambali pernah cuba mendapatkan pembebasan dari kem tahanan tentera AS itu namun ditolak kerana pendakwa berhujah, dia masih "menjadi ancaman signifikan kepada keselamatan AS".

Lihat Komen
ADS