Kira-kira 60 peratus cawangan Umno dalam bahagian Kubang Pasu telah mencalonkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno November ini.

Sebanyak 79 daripada 136 cawangan dalam bahagian tersebut, telah mencalonkan Dr Mahathir bertanding jawatan berkenaan.

Menurut seorang ahli jawatankuasa Umno berkenaan yang tidak mahu disebut berkata, bekas Perdana Menteri itu mendapat pencalonan terbanyak bagi bertanding jawatan tersebut.

Katanya, ini berdasarkan kepada senarai nama calon untuk bertanding sebagai perwakilan, yang dikemukakan oleh pihak cawangan kepada urusetia Umno bahagian.

Seramai 17 calon termasuk Dr Mahathir serta anaknya Datuk Mukhriz telah mengesahkan untuk bertanding sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno pada pada 13 hingga 17 November.

Setiap bahagian akan menghantar 13 perwakilan yang terdiri daripada tujuh perwakilan yang dipilih dalam mesyuarat bahagian. Mereka ini dikenali sebagai kumpulan tujuh atau G7.

Calon pilihan

Manakala enam orang lagi terpilih automatik. Mereka ini yang dikenali sebagai kumpulan enam atau G6, terdiri daripada ketua bahagian, timbalannya, setiausaha, ketua wanita, ketua pemuda dan ketua puteri.

"Sehingga ini, Tun Dr Mahathir dan Datuk Mukhriz merupakan calon 'favourite' majoriti perwakilan ke mesyuarat Umno bahagian Kubang Pasu pada 9 September ini," katanya.

Ditanya siapakah yang bakal merasmikan mesyuarat bahagian berkenaan, beliau berkata, pada mulanya, ia dijadual dirasmikan oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Bagaimanapun, pada saat-saat akhir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid pula dijadual merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian ini," katanya.

Menurutnya, mesyuarat tersebut memang ditunggu-tunggu, bukan sahaja di kalangan ahli bahagian Kubang Pasu, tetapi ianya juga menjadi tumpuan ahli Umno seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Wanita bahagian berkenaan, Baridshah Saat berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada para perwakilan untuk membuat pilihan.

Tidak sesuai?

Beliau berkata, pihaknya akan menerima dan menghormati apa juga keputusan yang bakal dibuat oleh para perwakilan dalam mesyuarat itu pada 9 September nanti.

Bagaimanapun, beliau mengakui wujudnya rasa 'serba-salah' di kalangan perwakilan berikutan keputusan Dr Mahathir untuk bertanding sebagai perwakilan.

Manakala Setiausaha Umno bahagian tersebut, Samsuddin Ahmad pula berkata, berdasarkan kepada pencalonan yang diterima oleh Dr Mahathir, ia menunjukkan bukan semua cawangan yang bersetuju untuk keputusan bekas Perdana Menteri itu.

Beliau secara peribadi berpendapat bahawa Dr Mahathir tidak sesuai menjadi perwakilan memandang beliau adalah bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia.

"Kalau Tun Dr Mahathir terpilih sebagai perwakilan sekalipun, tidak bererti beliau boleh berucap di perhimpunan agung nanti kerana Badan Perhimpunan Umno negeri yang akan memutuskan siapakah yang akan berucap di perhimpunan itu," katanya.