Most Read
Most Commented
Read more like this

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri mengenai pelbagai aduan yang diterima daripada masyarakat, termasuk layanan terhadap tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Menurut pesuruhjaya Tan Sri Anuar Zainal Abidin, Suhakam juga akan membincangkan aduan berkaitan urusan Imigresen membabitkan pekerja asing, dalam pertemuan dengan Ketua Setiausaha KDN itu, pada 4 Disember ini.

Suhakam akan diwakili tiga pesuruhjayanya iaitu Datuk Prof Hamdan Adnan, Prof Mehrun Siraj dan Datuk Salleh Mohammad Nor.

Bercakap kepada pemberita selepas menerima memorandum oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), pagi tadi, beliau berkata pertemuan itu merupakan peluang keemasan bagi Suhakam mengemukakan kepada KDN segala aduan yang diterima daripada masyarakat.

Anuar berkata, antara masalah yang dikemukakan berkaitan tahanan ISA di Kamunting termasuk tahanan tidak dibenarkan mengerjakan sembahyang Jumaat.

"Ini boleh dianggap sebagai satu bentuk tekanan yang tidak sepatutnya berlaku," kata Anuar.

Memorandum ISA

Sebelum itu, lebih 15 wakil GMI yang diketuai Zaid Kamaruddin menyerahkan memorandum mengenai tahanan ISA di Kamunting ke Suhakam.

Ia antara lain menyentuh kebimbangan GMI terhadap kesihatan lima tahanan politik iaitu aktivis reformasi Saari Sungib dan Lokman Noor Adam, Ketua Pemuda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Nor; naib presiden Tian Chua dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais.

Kelima-lima mereka ditahan di bawah akta itu sejak April lalu dan dihantar ke kem Kamunting awal Jun lalu atas dakwaan 'cuba mengulingkan kerajaan dengan mengunakan cara militan'.

"Kami juga telah berusaha untuk berbincang dengan pegawai yang menjaga kem Kamunting pada 27 Oktober lalu tetapi tidak berjaya kerana hanya seorang saja dibenarkan berjumpa pegawai penjara," kata Zaid.

Katanya, usaha GMI bagi mendapat temujanji untuk berjumpa timbalan perdana menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, juga gagal walaupun pihaknya telah menghantar surat, faks, menefon, malah pergi sendiri ke pejabat beliau di Putrajaya.

Selain itu GMI turut mengemukakan aduan mengenai layanan yang diterima oleh Dr Badrulamin Bahron yang dibebaskan daripada kem Kamunting pada 3 November lalu.

Menurut isteri Badrulamin, Zumrah Husni suaminya telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rawang semalam kerana didakwa melanggar syarat buang daerah dikenakan ke atasnya.

Pameran

"Menurut pihak polis, kehadiran suami untuk membaca doa semasa perasmian Pameran X-Files ISA yang diadakan di Pejabat Keadilan Gombak di Taman Melawati telah melanggar sempadan daerah yang dibenarkan," kata Zumrah yang turut hadir di majlis itu.

Anuar berkata kandungan memorandum ini akan turut dibincang dengan pihak KDN dalam perjumpaan mereka nanti.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS