Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aktivis alam sekitar kecewa kenyataan MB S'gor isu nyah warta hutan simpan

Beberapa kumpulan pencinta alam menyatakan kekecewaan terhadap Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang masih mempertimbangkan rancangan untuk nyah warta hutan gambut seluas 931 hektar di Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini awal minggu ini, Amirudin menekankan bahawa kerajaan negeri berusaha memastikan pembangunan terus berlanjutan di kawasan ini sambil masih mengekalkan kawasan hutan yang cukup luas dan mengambil kira masyarakat Orang Asli yang tinggal di sana.

Projek yang direncana di kawasan itu yang dikatakan sebagai pembangunan campuran, akan menyaksikan Menteri Besar Diperbadankan memiliki sekitar 364 hektar dari pembangunan yang dicadangkan, sementara selebihnya seluas 566.56 hektar akan diberikan kepada Titian Jutaria, sebuah syarikat swasta yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan istana Selangor.

Banyak NGO dan individu menentang projek tersebut, yang mengakibatkan kerajaan negeri menerima lebih 40,000 bantahan.

Pengarah Pusat Alam Sekitar Global (GEC) Faizal Parish, yang secara konsisten bersuara mengenai perkara itu, menekankan bahawa kenyataan Amirudin menunjukkan bahawa dia tidak memandang serius bantahan oleh banyak pihak.

"Nampaknya menteri besar tidak memandang serius bantahan dan mengabaikan usul DUN," katanya.

Faizal Parish

Sebagai rekod, pada November tahun lalu, dewan undangan negeri (DUN) Selangor meluluskan usul yang mendesak kerajaan negeri untuk memelihara hutan simpan yang diwartakan di negeri ini.

Amirudin dalam wawancara sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa kerajaan negeri akan mendapatkan laporan lengkap dari Jabatan Perhutanan negeri mengenai pelbagai bantahan tersebut.

Selain dari bantahan, faktor lain yang harus dipertimbangkan termasuk laporan yang diserahkan oleh pelbagai agensi negeri kepada sebuah jawatankuasa khusus yang ditugaskan untuk membentangkan penemuan tersebut kepada jawatankuasa eksekutif negeri.

Sementara itu, seniman dan aktivis Orang Asli Temuan, Shaq Koyok, yang berasal dari daerah itu, membidas kenyataan menteri besar itu.

"Saya merasakan menteri besar Selangor tidak peduli dengan kewujudan Orang Asli di negara ini.

"Hutan Simpan Kuala Langat Utara adalah tempat nenek moyang kami dikebumikan. Kampung asal kami ada di sana ... Hutan pada dasarnya adalah tempat bermula sejarah Temuan. Memusnahkan hutan adalah seperti menghapus sejarah Orang Asli dan Temuan dari muka bumi Malaysia," kata Shaq kepada Malaysiakini.

Shaq Koyok.

Dia mengatakan tanah yang terjejas terletak betul-betul di belakang kampungnya, Kampung Pulau Kempas, dan kawasan lain, Bukit Cheeding, adalah tempat dia bersekolah rendah.

"Hakikat bahawa dia (Amirudin) seolah-olah mengabaikan usul DUN menunjukkan bahawa menteri besar Selangor tidak peduli dengan suara majoriti dan sistem demokrasi di negara ini," katanya.

Dia juga membidas kenyataan Amirudin yang menafikan tahap keterancaman spesies tertentu.

Amirudin sebelum ini mengatakan bahawa bantahan yang berkaitan dengan spesies terancam "tidak relevan" kerana menurutnya ia masih dapat dijumpai di kawasan lain.

"Hidupan liar yang terancam yang menjadikan hutan itu sebagai habitat mereka akan terancam jika projek bodoh dan rakus ini dibenarkan. Kita bercakap mengenai ribuan hidupan liar yang dilesapkan bersama dengan perkuburan Orang Asli," kata Shaq.

Ahmad Ismail

Ahmad Ismail, yang merupakan presiden Persatuan Alam Malaysia (MNS), juga mengatakan Amirudin telah meremehkan sejauh mana hidupan liar di hutan Kuala Langat terancam.

"Ini adalah komen yang sangat menyedihkan dari menteri besar mengenai hidupan liar dan habitatnya.

"Mungkin negeri Selangor perlu mempunyai rancangan induk jangka panjang agar tidak ada lagi hutan yang dinyah warta," katanya.

Kerajaan negeri, tambahnya, harus menunjukkan komitmen yang kuat untuk menjaga kawasan hutan di negeri ini.

Shaq menegaskan bahawa kerajaan Selangor mesti menghentikan rencana pembangunan itu, apa lagi ketika kerajaan seharusnya menumpukan perhatian pada pandemik Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi.

"Pembangunan ini hanya akan membawa bencana kepada rakyat Selangor," katanya.

Ketua Klima Action Malaysia, Ili Nadiah Dzulfakar memberi amaran bahawa nywah warta hutan akan memberi kesan negatif kepada iklim kerana pelepasan karbon.

"Cadangan nywah warta ini, jika diteruskan, akan meningkatkan pelepasan karbon dan mengurangkan daya tahan kita untuk menyesuaikan diri dalam iklim pemanasan ini.

"Cabang eksekutif Selangor harus mematuhi Usul 26, disahkan sebulat suara di dewan undangan negeri Selangor, dan menjunjung kehendak rakyat untuk ketelusan dalam pengurusan hutan," katanya.

Sementara itu, Faizal berkata, Hutan Simpan Utara Kuala Langat mempunyai warisan semula jadi dan budaya yang unik yang tidak dapat dijumpai di tempat lain.

"Bagaimana menteri besar boleh mengatakan ini tidak penting atau boleh ditiru di tempat lain?

"Hakikatnya, ia adalah hutan gambut dan dataran rendah yang tersisa di selatan Selangor dengan lebih daripada 90 peratus diliputi hutan dan himpunan unik yang tidak terdapat di kawasan lain di negeri ini," katanya.

"Kami berharap kami dapat bertemu dengan kerajaan negeri untuk lebih memahami pendirian mereka mengapa mereka berpendapat bantahan tidak relevan," tambahnya.

Lihat Komen
ADS