Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Indeks persepsi rasuah merosot: K'jaan jamin tak kompromi dengan rasuah
Diterbitkan:  Jan 29, 2021 7:02 PM
Dikemaskini: 11:03 AM

Kerajaan memberi jaminan untuk terus komited dalam memerangi rasuah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku rasuah berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Kenyataan itu susulan kedudukan Malaysia yang merosot dua mata dan menyebabkan kedudukan negara turun enam anak tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020, berbanding tahun sebelumnya.

PMO berkata kerajaan mengambil maklum berhubung kedudukan negara dalam CPI yang diumumkan Transparency International (TI) semalam.

"Walaupun skor dan kedudukan negara menurun sedikit daripada tahun 2019, namun perlu ditegaskan bahawa dasar dan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah dan meningkatkan tadbir urus kerajaan adalah jelas serta berterusan.

"Malah kerajaan tidak pernah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku rasuah serta tindakan tegas akan diambil mengikut prinsip 'rule of law'," kata PMO hari ini.

Presiden TI-Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan berkata, untuk 2020 Malaysia mendapat 51 mata dan berada di kedudukan 57 berbanding tempat 51 (dengan markah 53 mata) pada 2019.

Muhammad juga berkata kemerosotan tahun lalu berlaku setelah peningkatan dua tahun berturut-turut sejak 2018 ekoran agenda reformasi institusi di bawah pentadbiran PH.

Antara faktor yang menyebabkan kemerosotan ialah reformasi institusi yang tergendala, termasuk janji untuk membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang tidak tertunai.

Selain itu, pengguguran kes dan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) untuk beberapa kes rasuah berprofil tinggi tahun lalu turut menyebabkan kemerosotan.

Tahun lalu, anak tiri Najib Razak, Riza Aziz diberikan DNAA untuk kes berkaitan 1MDB manakala kes pengubahan wang haram bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman digugurkan.

Bekas Menteri Wilayah Tengku Adnan Mansor juga diberikan DNAA untuk kes rasuah bernilai RM1 juta. Dia bagaimanapun didapati bersalah untuk satu lagi kes rasuah bernilai RM2 juta.

Dalam pada itu, PMO berkata Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang diperkenalkan pentadbiran PH masih diteruskan bagi meningkatkan tadbir urus kerajaan selain menutup peluang rasuah dalam pentadbiran.

"Kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) juga sentiasa melihat kepada kaedah dalam meningkatkan tadbir urus dalam pentadbiran kerajaan," kata PMO.

Lihat Komen
ADS