Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tubuh jawatankuasa bipartisan tangani Covid-19: Salahuddin
Diterbitkan:  Jan 29, 2021 10:06 PM
Dikemaskini: 2:09 PM

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menggesa kerajaan membentuk sebuah jawatankuasa khas bipartisan bagi menangani wabak Covid-19.

Ini selepas Malaysia mencatatkan 5,725 kes harian Covid-19 hari ini yang merupakan angka tertinggi setakat ini.

"Sampai masanya "back to the drawing board" (Balik semula ke rancangan asal). Ini bukan isu darurat. Ini isu pengurusan Covid-19. Nyawa rakyat semakin terancam," tulisnya di Twitter malam ini.

PKP dilaksanakan semula bermula 13 Januari sehingga 4 Feb berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun pelaksanaan PKP kali kedua ini menerima kritikan banyak pihak kerana dikatakan tidak cukup ketat.

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini berkata kerajaan "membazir" masa kerana tempoh itu masih gagal mengawal penularan wabak Covid-19.

Katanya PKP yang longgar bukan saja mengakibatkan kes Covid-19 tidak menurun, malah Malaysia kini menjadi negara paling teruk dilanda wabak itu dalam kalangan Asean ketika ini.

Terbaru kerajaan membenarkan sektor perniagaan beroperasi sehingga jam 10 malam berbanding 8 malam sebelum ini, manakala pasar malam dibenarkan beroperasi semula.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini berkata kerajaan tidak akan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya ke atas ekonomi walaupun sekiranya berlaku senario terburuk

”Berdasarkan kepada model semasa, kami percaya bilangan kes akan menurun.

“Seandainya senario terburuk (berlaku), kami tidak akan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya ke atas ekonomi, kami akan terus menumpukan kepada SOP yang lebih ketat,” katanya dalam satu program temu bual bersama CNBC hari ini.

Menteri Pertahanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri baru-baru ini berkata kerajaan mungkin melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi menggantikan PKP bagi menyeimbangkan antara kepeluaan mengekang wabak dan ekonomi.

Lihat Komen
ADS