Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Naikkan kompaun: KKM serah draf pindaan Akta 342 kepada AGC

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menyerahkan draf bagi pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada pejabat peguam negara (AGC).

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia bertujuan menaikkan kompaun kepada pesalah yang ingkar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan Covid-19.

"Kalau kita lihat sekarang ini untuk kompaun (di bawah) akta 342, maksima RM1,000 saja, akta ini kita draf pada tahun 1988.

"Jadi memang ada keperluan untuk kita buat pindaan, pindaan sudah kita rangkakan dan kita serahkan kepada AG (peguam negara).

"Sekarang ini kita gunakan Ordinan Darurat untuk buat pindaan," katanya kepada media selepas melawat pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 risiko rendah (PKRC) di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berpendapat sudah tiba masanya nilai kompaun kepada pesalah yang melanggar SOP PKP dinaikkan susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di negara ini.

Abdul Hamid berkata setiap minggu ribuan saman dikeluarkan pihaknya, yang kebanyakannya melibatkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.

Menurutnya lebih memburukkan lagi keadaan apabila ada yang mengambil kesempatan dengan melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri tanpa alasan yang kukuh.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya kemungkinan PKP akan disambung, Noor Hisham berkata perkara tersebut akan dibincangkan namun apa yang lebih penting adalah pematuhan orang ramai terhadap SOP.

Mengulas isu kelonggaran dalam pelaksanaan PKP kali ini, Noor Hisham berkata tugas KKM adalah memberi nasihat dan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melaksanakan tindakan.

"Kita akan bincang isu dan cabaran yang ada iaitu kita kena pertimbangkan dari segi kesihatan dan juga ekonomi. 

"Jadi untuk mendapatkan kata putus pelaksanaan dan berbincang semula melihat tindakan yang sesuai.

"Sekarang ini negeri Selangor kes meningkat, adakah kita akan bersasar ke Selangor kita akan bincang," jelasnya.

Lihat Komen
ADS