Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan disaran naikkan kompaun langgar SOP hingga RM10,000

Kerajaan disaran supaya meningkatkan kadar kompaun terhadap mereka yang ingkar peraturan ataupun operasi standard prosedur (SOP) Covid-19 sehingga RM10,000.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, berkata bagi sesetengah pihak kadar kompaun sebanyak RM1,000 yang dikenakan ketika ini agak kecil.

"Ada pihak yang langgar PKP, dia tak kisah langgar PKP kerana jumlah itu kecil bagi mereka...mereka mampu untuk membayarnya.

"Seperti pengusaha kelab malam, jumlah itu amat kecil buat mereka.

"Sebab itu saya sarankan supaya mereka didenda dengan jumlah lebih tinggi sehingga RM10,000 dan jika kesalahan berulang boleh mencecah RM50,000," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun katanya, bagi rakyat biasa yang mungkin pertama kali melakukan kesalahan majistret boleh menggunakan kebijaksanaannya untuk mengenakan denda minimum.

Baru-baru ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kompaun lebih tinggi dan hukuman lebih berat sedang digubal melalui Ordinan Darurat bagi dikenakan terhadap individu atau syarikat yang melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, ia susulan masih ramai lagi yang ingkar dan melanggar SOP berkenaan.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berpendapat sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar SOP PKP dinaikkan susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di negara ini.

Abdul Hamid berkata setiap minggu ribuan saman dikeluarkan pihaknya kepada individu yang ingkar dan melanggar SOP PKP, yang kebanyakannya melibatkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.

Di Singapura hukuman pesalah pertama adalah SG$10,000 (kira-kira RM 30,000), kesalahan kedua SD20,000 (RM60,000).

Manakala di Korea Selatan kesalahan pertama, denda RM35,000 dan di Indonesia pula, 300 juta rupiah (RM82,343.91).

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) Kebangsaan Syed Badli Shah Syed Osman berkata adalah tidak wajar kerajaan mengenakan denda yang lebih tinggi.

Katanya, PKP dan proklamasi darurat yang diumumkan kerajaan tidak ada sebarang pengumuman pakej bantuan daripada kerajaan.

"Tak patut.... Sepatutnya kerajaan bantu rakyat terhadap mereka yang terkesan. Bukan tambah beban.

"Sebaiknya kerajaan kecilkan jumlah kabinet, kompaun para menteri yang langgar SOP dahulu. Semua menteri ni makan gaji buta," katanya.

Dalam pada itu, Exco Pemuda Umno Mustafa Shah Abdul Hamid menggesa kerajaan memperkemaskan pelaksanaan SOP ataupun peraturan PKP.

"Tidak wajar untuk mengenakan denda yang keras kepada rakyat biasa, ketika mana mereka kini dalam kesempitan.

"Namun, jika membabitkan mereka yang ingkar seperti kelab malam, itu saya sokong jika dikenakan hukuman yang berat," katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah berpendapat tiada keperluan kerajaan meningkatkan kadar kompaun.

Katanya, tindakan menaikkan kompaun walaupun sehingga RM10,000 tidak akan menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat ketika krisis Covid-19 ini.

Lihat Komen
ADS