Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PBB bimbang nasib etnik Rohingya susulan rampasan kuasa tentera
Diterbitkan:  Feb 2, 2021 12:46 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

GLOBAL | Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bimbang rampasan kuasa di Myanmar akan memburukkan lagi keadaan ratusan ribu etnik Rohingya beragama Islam yang masih ada di negara itu.

Menurut Reuters, kebimbangan itu disuarakan seorang jurucakap PBB menjelang mesyuarat tertutup Majlis Keselamatan PBB hari ini.

"Ada kira-kira 600,000 orang Rohingya yang masih ada di Rakhine, termasuk 120,000 orang di kem. Mereka tidak dapat bergerak bebas dengan akses terhadap kesihatan awam dan pendidikan yang amat terhad.

"Jadi kebimbangan kami, apa yang berlaku akan memburukkan lagi keadaan mereka, menurut jurucakap PBB Stephane Dujarric seperti dipetik Reuters.

Duta PBB Britain merangkap presiden Majlis Keselamatan untuk Februari, Barbara Woodward pula berkata majlis itu ingin melihat ancaman jangka panjang terhadap keamanan dan keselamatan, dengan bekerjasama dengan negara jiran di Asia Tenggara dan Asia.

Menurut laporan itu, tindakan tentera di Rakhine pada 2017 menyaksikan lebih 700,000 etnik Rohingya lari ke Bangladesh.

Sehingga kini, mereka masih tinggal di kem pelarian yang sebahagian besarnya terletak di Cox's Bazaar.

PBB dan sejumlah negara mendakwa pihak tentera Myanmar melakukan pembersihan etnik. Bagaimanapun tentera menafikannya.

China dengan sokongan Russia - yang memiliki kuasa veto - menyekat sebarang tindakan signifikan Majlis Keselamatan berhubung perkara itu.

Awal pagi semalam, tentera Myanmar menahan Aung San Suu Kyi dan sejumlah pemimpin parti pemerintah, Liga Demokrasi Kebangsaan dan mengisytiharkan darurat selama setahun.

Menurut laporan, rampasan kuasa itu adalah tindak balas kepada apa yang disifatkannya sebagai penipuan dalam pilihan raya umum November lalu.

Lihat Komen
ADS