Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rundingan PKR-PSB untuk PRN Sarawak hadapi jalan buntu
Diterbitkan:  Feb 2, 2021 1:39 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

Usaha untuk mengelakkan pertarungan pelbagai penjuru sesama pembangkang semasa pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang akan datang berdepan dengan jalan buntu susulan kegagalan PKR dan Parti Bersatu Sarawak (PSB) mencapai kompromi.

Pengerusi PKR Sarawak Larry Sng berkata usaha itu telah "mati". Dia mendakwa ini berlaku susulan kedegilan PSB untuk bertolak ansur.

"Oleh kerana PSB memilih untuk bertegas bertanding di semua 82 kerusi DUN pada pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang, tidak ada ruang untuk PKR Sarawak mempertimbangkan bekerjasama dengan mereka," katanya dalam satu catatan di Facebook.

Rundingan sepatutnya diteruskan sehingga akhir bulan ini.

Namun, Sng berkata, dengan pendirian keras dan tegas PSB, sebarang perjanjian tidak mungkin berlaku.

"Efektifnya sebarang pakatan antara PKR dan PSB kini sudah mati.

“Ini tidak mungkin akan berubah kerana kedua-dua pihak telah berbincang selama berbulan-bulan, tanpa sebarang kejayaan," katanya.

PKR sekarang akan memberi tumpuan di 47 kerusi DUN yang sudah dirundingkan dengan sekutunya, DAP dan Amanah. DAP akan bertanding di 26 kerusi sementara Amanah di sembilan.

PKR sejak awal lagi telah membuat perjanjian dengan sekutunya, Pakatan Harapan bagi memastikan pertembungan sengit mereka semasa PRN 2016 yang menyaksikan kerugian di kedua-dua belah pihak tidak lagi berulang.

Walau bagaimanapun, PSB kini lahir sebagai parti pembangkang lain yang signifikan setelah menerima pemimpin dan ahli PKR yang telah berpaling tadah.

Ini termasuk bekas pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, yang juga Adun Ba'kelalan dan Ahli Parlimen Selangau.

Baru adalah pemimpin yang berpengaruh tetapi PSB belum membuktikan kemampuan parti itu pada pilihan raya.

Penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak berakhir pada bulan Jun dan pilihan raya mesti diadakan pada bulan Ogos.

Ketika ini sidang DUN Sarawak ditangguhkan susulan perisytiharaan darurat nasional yang berakhir pada 1 Ogos.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS