Malaysiakini
BERITA

Isa Samad disabitkan bersalah 9 pertuduhan rasuah

Hidir Reduan Abdul Rashid

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Feb 2021, 6:03 pagi

Bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad didapati bersalah atas semua sembilan pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah hotel di Sarawak.

Menurut hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dikenakan ke atas tertuduh.

Kata hakim pembelaan tertuduh bersifat sesuatu yang difikirkan kemudian dan tidak tekal dengan bukti yang dikemukakan di mahkamah.

"Oleh kerana itu mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas semua sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 16A Akta SPRM," katanya.

Mohd Isa didakwa dengan sembilan pertuduhan menerima rasuah untuk dirinya sendiri wang bernilai RM3,090,000 daripada anggota Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel, melalui Muhammad Zahid Md Arip.

Zahid merupakan bekas setiausaha politik Dr Mahathir Mohamad yang kini menjadi salah seorang pemimpin Bersatu dan dilantik menjadi senator selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan Feb tahun lalu.

Pada 16 Jun 2020 mahkamah mengarahkan Mohd Isa membela diri atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie.

Mohd Isa didakwa menerima habuan tersebut sebagai imbuhan atas bantuannya meluluskan pembelian Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) ke atas Hotel Merdeka Palace & Suites berharga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Mohd Isa di Tingkat Level 49, Menara Felda, di Persiaran KLCC di antara 21 Jul 2014 dan 11 Dis 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16a(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum mengikut seksyen 24 (1) akta yang sama.

Mohd Isa berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 - bergantung mana yang lebih tinggi.

[Baca berita penuh]

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.