Pencalonan Dr Mahathir tinggal 15
Umno Kubang Pasu hari ini menjelaskan bahawa pencalonan terbanyak untuk calon perwakilan bahagian itu ke perhimpunan agung Umno November ini diperolehi oleh setiausaha bahagian berkenaan, Samsudin Ahmad.
Umno Kubang Pasu hari ini menjelaskan bahawa pencalonan terbanyak untuk calon perwakilan bahagian itu ke perhimpunan agung Umno November ini diperolehi oleh setiausaha bahagian berkenaan, Samsudin Ahmad.
Samsudin memperolehi 97 pencalonan daripada 143 cawangan dalam bahagian berkenaan. Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir (foto) pula memperolehi 50 pencalonan, iaitu yang kedua terbanyak.
Manakala Dr Mahathir, yang juga bekas Perdana Menteri, memperolehi 15 pencalonan dan menduduki tempat kedua terbawah daripada 17 calon yang telah membuat pengesahan untuk menerima pencalonan tersebut.
Sebelum ini, malaysiakini melaporkan yang bekas Presiden Umno memperolehi 79 pencalonan sebagai perwakilan bahagian ke perhimpunan agung Umno nanti.
Mengulas mengenai laporan tersebut, Samsudin berkata, pada mulanya Dr Mahathir memang dijangka memperolehi pencalonan sebanyak itu.
Ketika dihubungi malaysiakini hari ini, beliau berkata, ini berdasarkan kepada catatan yang dibuat oleh pemantau bahagian yang menghadiri kesemua 143 mesyuarat perwakilan itu di mana 79 daripadanya telah menyatakan sokongan untuk mencalonkan Dr Mahathir sebagai perwakilan bahagian.
Bagaimanapun, katanya, jumlah tersebut merupakan angka tidak rasmi sehinggalah pihak bahagian menerima senarai pencalonan rasmi dari semua cawangan.
Katanya, mungkin kerana Dr Mahathir lewat membuat pengesahan menerima pencalonan tersebut, maka jumlah pencalonan rasmi yang dihantar kepada pihak bahagian untuk bekas Perdana Menteri itu hanya tinggal 15 sahaja.
Semua pilihan cawangan
Sehubungan itu beliau menolak kemungkinan ada cawangan-cawangan yang menarik balik pencalonan ekoran tekanan pihak tertentu.
Sebaliknya, jelas beliau, semua pencalonan dibuat sendiri oleh pihak cawangan yang bebas mencalon sesiapa sahaja yang mereka pilih, termasuk Dr Mahathir sendiri.
"Umno bahagian Kubang Pasu tidak pernah mempengaruhi pihak cawangan untuk menentukan calon-calon untuk menjadi perwakilan bahagian. Pilihan dibuat oleh pihak cawangan sendiri," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak mesti menerima keputusan pemilihan perwakilan yang akan diputuskan dalam mesyuarat bahagian berkenaan 9 September ini.
Setiap bahagian akan menghantar 13 perwakilan yang terdiri daripada tujuh perwakilan yang dipilih dalam mesyuarat bahagian. Mereka ini dikenali sebagai kumpulan tujuh atau G7.
Manakala enam orang lagi terpilih automatik. Mereka ini yang dikenali sebagai kumpulan enam atau G6, terdiri daripada ketua bahagian, timbalannya, setiausaha, ketua wanita, ketua pemuda dan ketua puteri.
Menurutnya lagi, Ketua Umno Kubang Pasu, Datuk Johari Baharum, yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, ada menemui bekas Perdana Menteri itu untuk mendapatkan penjelasan mengapa beliau mahu bertanding sebagai perwakilan bahagian.
"Tun (Dr Mahathir) menjawab, sebagai ahli Umno beliau boleh bertanding jawatan tersebut," kata Samsuddin.
43 dicalonkan
Sementara itu, Umno bahagian Kubang Pasu akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membuat persiapan terakhir sebelum berlangsungnya mesyuarat bahagian itu minggu depan.
Seramai 508 perwakilan dari 143 cawangan akan menghadiri mesyuarat bahagian tersebut yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Mahadzir Khalid.
Sementara itu, Setiausaha Kerja bahagian berkenaan, Mohd Hailmi berkata pencalonan dari cawangan Umno ditutup pada 20 Ogos lalu.
"Kita telah mengemaskinikannya dan Tun hanya mendapat 15 pencalonan manakala anaknya, Datuk Mukhriz mendapat 50 pencalonan," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, seramai 43 orang dicalonkan sebagai perwakilan dan 17 telah mengesahkan akan bertanding, termasuk Dr Mahathir dan Mukhriz.
Katanya, antara tokoh Umno setempat yang turut dicalonkan ialah bekas Menteri Besar, Tan Sri Osman Arof, tetapi beliau menolak pencalonan tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.