Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tindakan lebih keras - tutup kedai, kompaun tinggi buat pesalah berulang
Diterbitkan:  Feb 4, 2021 4:02 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Kerajaan akan meminda undang-undang sedia ada bagi mengenakan hukuman lebih tegas kepada mereka yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, menurut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Kata Muhyiddin dalam siaran ucapan khasnya sebentar tadi, antara lain, ia membabitkan arahan penutupan serta-merta premis perniagaan yang tidak mematuhi SOP ditetapkan.

Kompaun yang lebih tinggi turut boleh dikenakan kepada pesalah berulang atau yang sudah diberi amaran, selain tindakan penjara ke atas pesalah yang melanggar peraturan dan SOP.

Dia turut membangkitkan tindakan perundangan kepada pemilik perniagaan yang melanggar SOP termasuk pemegang dan operator francais, serta pihak berkepentingan lain dalam rantaian organisasi perniagaan.

Rantaian pengurusan pekerja asing turut tidak terlepas, meliputi majikan, ejen pembekal pekerja, kontraktor utama, sub-kontraktor dan orang perseorangan yang melakukan kesalahan serupa.

“Pematuhan kepada SOP di tempat kerja, tempat penginapan pekerja dan premis peniagaan dan kilang adalah penting untuk kita memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Tindakan penguatkuasaan mesti dipertingkatkan untuk memastikan pematuhan kepada SOP,” katanya dalam siaran tadi.

Menurutnya, langkah berkenaan hasil penelitian Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat terhadap peruntukan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 yang perlu dipinda bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.

Buat masa ini, denda maksimum di bawah Seksyen 25 akta berkenaan adalah sebanyak RM1,000 tanpa hukuman penjara dikenakan.

Bagaimanapun, pindaan terbaru di bawah akta itu akan menyaksikan pesalah didenda maksimum RM1,000, atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Di bawah darurat, kerajaan boleh mencadangkan pindaan undang-undang sedia ada menerusi ordinan yang hanya memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong, berbanding harus diluluskan menerusi parlimen.

Parlimen boleh memansuhkan ordinan apabila ia bersidang nanti.

Tambah Muhyiddin, kerajaan turut dalam usaha meminda Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] bagi mengukuhkan penguatkuasaaan.

Katanya, menerusi pindaan itu juga, Kementerian Sumber Manusia akan mempunyai bidang kuasa yang lebih besar dan menyeluruh, tetap tidak menjelaskan lebih lanjut.

Berkenaan peranan hospital swasta, Muhyiddin berkata sebanyak 31 hospital swasta terlibat dalam penyumberaluran rawatan sebahagian pesakit bukan Covid-19 dari hospital awam.

Hospital swasta turut bercadang menyediakan 1,344 katil di wad biasa dan 65 katil di wad unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19.

Katanya lagi, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 akan turut digunakan untuk mengambil alih kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Kem Wawasan dan digunakan sebagai pusat tahanan dan kuarantin sementara untuk pendatang asing tanpa Iizin (Pati) dan penjara sementara. 

Lihat Komen
ADS