Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Wira kita datang menyelamat' - Chong Wei taja 50 tablet pelajar
Diterbitkan:  Feb 5, 2021 11:35 AM
Dikemaskini: 4:20 AM

Legenda badminton negara, Lee Chong Wei akan menyumbangkan 50 buah tablet untuk kegunaan pelajar-pelajar kurang berkemampuan di parlimen Bukit Mertajam.

Hal itu diumumkan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Menurut Sim, hasrat itu disuarakan Lee menerusi panggilan telefon semalam setelah dia mendapat tahu mengenai program Asal Cek Mau Pi Sekolah yang diusahakannya.

“Wira kita datang menyelamat!”

“Semalam Chong Wei telefon saya setelah mendapat tahu tentang program Asal Cek Mau Pi Sekolah. Kami sempat berbual-bual tentang keluarga masing-masing, kesihatan dan sektor sukan negara.

“Berita baik daripada wira kesayangan kita: Chong Wei akan taja 50 buah tablet Samsung Tab A8 untuk program Asal Cek Mau Pi Sekolah!

“Terima kasih yang amat sangat. Anda memang wira di dalam dan di luar gelanggang. Kam siah (terima kasih)!" kata Sim di Facebooknya.

Berdasarkan perkongsian pegawai Sim, Rosly Yusof, sebaik sahaja diterima, tablet itu akan segera diserahkan kepada keluarga terpilih yang tidak mampu untuk membeli sendiri peranti bagi kegunaan pembelajaran dalam talian anak-anak mereka.

“Chong Wei adalah bekas pelajar SJKC Jit Sin Bukit Mertajam,” kata Rosly.

Program Asal Cek Mau Pi Sekolah dilancarkan pada 24 Jan lalu, untuk menyampaikan bantuan Covid-19 di kawasan parlimen Bukit Mertajam, yang lebih khusus dalam sektor pendidikan.

Ia terbahagi kepada lima usaha, iaitu perkhidmatan cetak kerja rumah percuma; kelas bimbingan dalam talian percuma; tambah nilai data internet; program anak angkat MP Bukit Mertajam; dan komputer riba percuma.

Menerusi program itu juga, semalam Malaysiakini melaporkan kisah menyentuh hati mengenai nenek dan cucu yang tidak dapat menahan air mata menerima komputer riba percuma, kerana akhirnya berpeluang menyertai kelas dalam talian dan tidak lagi ketinggalan.

Ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan yang sesi persekolahan bersemuka yang sepatutnya bermula 20 Jan lalu hanya membabitkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan utama.

Keputusan itu diambil selepas perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta merujuk kepada trend kes Covid-19 yang semakin meningkat.

Lihat Komen
ADS