Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu Presiden Indonesia Joko Widodo untuk mengadakan perbincangan empat mata di istana presiden, Istana Merdeka, di Jakarta pada Jumaat.
Mesyuarat bermula pada pukul 10.50 pagi (11.50 pagi waktu Malaysia) dan dijadual berlangsung selama kira-kira 40 minit dengan pematuhan prosedur operasi standard bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Antara isu yang dijangka dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan adalah mengenai masalah berkaitan diskriminasi minyak sawit, jerebu, pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik dan kerjasama dalam menangani pandemik Covid-19.
Muhyiddin diberikan sambutan negara sempena lawatan rasmi dua hari ke Indonesia.
Dia tiba di istana berkenaan pada pukul 10.30 pagi dan disambut oleh Joko Widodo.
Muhyiddin kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat oleh Pasukan Keselamatan Presiden Indonesia.
Perdana Menteri tiba di Jakarta pada Khamis bagi memulakan lawatan rasmi yang menandakan hubungan erat selama 62 tahun antara kedua-dua negara.
Ini merupakan kunjungan pertama Muhyiddin ke negara Asia Tenggara setelah menjawat jawatan Perdana Menteri pada 1 Mac 2020.
Muhyiddin dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Jokowi, panggilan mesra Presiden Indonesia itu dan lawatan ini akan menjadi platform bagi kedua-dua pemimpin untuk memperkukuhkan lagi hubungan serta kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
Kedua-dua pemimpin itu kemudian dijangka akan mengadakan sidang media bersama selepas perbincangan berkenaan.
Pertemuan ini akan membolehkan Malaysia untuk mengetengahkan dasar dan pendirian terkini kerajaan, terutama mengenai isu-isu berkaitan kepentingan dan manfaat bersama.
- Bernama
