Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPM usah terlalu bebankan guru yang berhempas-pulas - Maszlee
Diterbitkan:  Feb 5, 2021 5:21 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik membidas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana didakwa memaksa guru melaksanakan jadual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), sama seperti mana ketika mengajar di sekolah.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, ini kerana apa yang dituntut KPM itu adalah sesuatu yang sangat tidak munasabah.

Kata Maszlee, dia berpendapat ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19, pihak KPM tidak seharusnya terlalu membebankan guru.

“Beberapa hari yang lalu, KPM telah mengeluarkan PdPR, yang telah menimbulkan sedikit kegelisahan di kalangan warga guru

“Saya berpandangan jangan jadikan para guru kita sebagai mangsa. Mendesak guru untuk melaksanakan jadual persis seperti mengajar di sekolah ketika menjalankan PdPR adalah sesuatu yang sangat tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Maszlee, dia juga mendapat maklumat bahawa ada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang sudah mengeluarkan surat arahan memaksa para guru untuk mengajar lima subjek sehari.

"Guru juga adalah manusia. Pertimbangan manusiawi dan budi bicara haruslah menjadi tonggak KPM ketika bereksperimen dengan norma baharu PdPR ini.

"Jika KPM benar-benar mahukan PdPR menjadi tunjang pembelajaran kerana tidak mahu membuka sekolah hatta di daerah hijau sekalipun, KPM haruslah menjadikan guru sebagai sumber inspirasi negara," katanya.

Tambah Maszlee. dia percaya ramai guru berhempas-pulas melaksanakan PdPR mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing ketika ini.

"Saya juga percaya ramai dari mereka juga punya anak, yang pada masa yang sama ketika mereka harus mengajar memerlukan perhatian seorang ayah dan ibu untuk menjalani PdPR.

"Oleh yang demikian saya dengan ini menyeru agar panduan terbaharu PdPR seperti yang telah disebarkan beberapa hari yang lalu segera diketepikan, mengambil kira kepentingan autonomi guru untuk melaksanakan PdPR mengikut kapasiti mereka dan kemampuan anak murid berdasarkan lokaliti dan keupayaan capaian internet dan peranti," katanya.

Dalam masa yang sama, Maszlee juga berkata KPM perlu segera mencari jalan untuk meneliti isu kesihatan mental para guru yang telah melaksanakan PdPR sejak dari tahun lepas.

"Kita semua tahu formula murid yang cemerlang hanya akan hadir dari guru yang cemerlang. KPM harus memenuhi keperluan kesihatan mental dan emosi mereka.

"Hanya dengan cara ini, anak-anak kita akan dapat menjalani pendidikan terbaik walau hanya melalui PdPR," tambahanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS