NGO berasaskan kaum Cina, Hua Zong hari ini menafikan pertubuhan itu menyertai perbincangan dengan Kementerian Perpaduan Negara bagi merumuskan prosedur operasi standard (SOP) perayaan Tahun Baru Cina yang dianggap 'kontroversi'.
Dalam satu kenyataan hari ini, presiden Hua Zong, Goh Tian Chuan berkata, organisasi berkenaan tidak diundang atau turut serta dalam perbincangan pada 12 dan 18 Januari.
Oleh itu, dia hairan mengapa kementerian mengeluarkan kenyataan tersebut dan meminta penjelasan mereka bagi mengelakkan kekeliruan.
"Prinsip kami adalah kerajaan harus menghormati dan mempertahankan adat resam Tahun Baru Cina, termasuk perjumpaan makan malam dan upacara keagamaan oleh keluarga," katanya.
Terdahulu, Kementerian Perpaduan Negara berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai SOP untuk perayaan Tahun Baru Cina setelah mendengar pandangan dan rayuan orang ramai.
Kementerian itu mengakui telah merangka SOP selepas mengadakan perbincangan dengan Hua Zong dan 20 persatuan agama dan budaya Cina yang lain.
Goh tidak bersetuju dengan SOP yang menyatakan perayaan dan makan malam Tahun Baru Cina harus dihadkan kepada ahli keluarga yang tinggal di rumah yang sama.
Justeru itu dia menggesa kerajaan agar mengkaji semula keputusan berkenaan.
"Bagi mereka yang tinggal di zon yang sama tetapi tidak berada bawah satu bumbung, harus dibenarkan makan malam bersama," katanya.
Sementara itu, wakil organisasi Fo Guang Shan, Jue Cheng berkata Fo Guang Shan hanya dijemput menghadiri mesyuarat pertama pada 12 Januari.
Dia mengesahkan terdapat dua pertemuan dan beberapa NGO telah menghadiri mesyuarat tersebut.
Beberapa ahli politik dari pihak kerajaan dan pembangkang juga mempersoalkan larangan lawatan keluarga bagi sambutan perayaan itu ketika sektor perniagaan lain dibenarkan dibuka.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Ti Lian Ker juga menggunakan media sosial untuk meluahkan kekecewaannya terhadap SOP berkenaan.
"SOP ini mesti ditarik balik dan dibetulkan segera," kata senator MCA itu.
