Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
#KitaMintaLima: Dari suka-suka menjadi sohor kini

Pada awalnya, Muhamad Alias hanya mengumpulkan keluhan warganet yang dibaca di Facebook Istana Negara secara suka-suka. Tidak ada sebarang sasaran ditetapkan.

Dia secara spontan menggerakkan kempen #KitaMintaLima di Twitter.

Bagaimanapun, dia mengaku terkejut apabila kempen yang dimulakannya itu menerima sokongan menggalakkan sehingga menjadi sohor kini di Twitter setakat berita ini ditulis tengah hari ini.

“Saya baca di Facebook Istana Negara tentang komen dan keluhan warganet mengenai darurat sekarang dan apa gesaan mereka.

“Kemudian saya olahkan ke lima perkara, dan ada rakan saya buat poster itu. Tak sangka pulak kempen itu jadi trending (sohor kini) di Twitter,” kata seorang rakyat biasa itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Kempen #KitaMintaLima yang sohor kini di Twitter sejak semalam memaparkan lima gesaan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Gesaan yang dibuat ialah:

- Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bersasar dan efektif

- Sokongan penuh kepada petugas barisan hadapan dengan menyalurkan segala sumber bagi melawan Covid-19

- Moratorium bank secara automatik dan bantuan tunai kepada rakyat sepanjang PKP

- Penguatkuasaan prosesur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara adil dan saksama

- Peranti dan data internet kepada semua pelajar dengan segera.

Gesaan itu bermula selepas Muhammad menciap di Twitter selepas membaca beberapa komen di Facebook Istana Negara semalam.

Harap rasa hati rakyat didengar

“Baca komen di laman Facebook Istana Negara, majoriti rakyat menolak kerajaan sekarang.

“Baca komen di laman Facebook HarakahDaily, majoriti maki parti Islam. Kerajaan kita tuan-tuan dan puan-puan.

“Barang di Facebook jangan dibawa ke Twitter, tapi nilailah sendiri,” ciap Muhammad sambil memaparkan pautan akaun Facebook tersebut.

Muhamad turut menjelaskan, antara punca dia menggerakan inisiatif #KitaMintaLima itu ialah kerana mahukan penyelesaian kukuh daripada kerajaan berhubung isu Covid-19.

“Kita di bawah ini (rakyat biasa) terasa tekanan, ramai dah hilang kerja, orang nak meniaga tidak boleh, anak nak pergi sekolah juga tidak boleh tetapi tiada penyelesaian konkrit dikeluarkan.

“Benda (wabak Covid-19) ini bukan baru dua atau tiga bulan, dan setahun.

"Negara lain sudah ada penyelesaian konkrit untuk selesaikan Covid-19,” katanya yang juga menambah gerakan kempen ini tidak dibayangi oleh mana-mana parti politik.

Ditanya berhubung kegusaran sekiranya terdapat pihak membuat laporan polis terhadap kempen #KitaMintaLima itu, Muhammad, 37, berkata niatnya hanya untuk menyuarakan rasa hati rakyat.

“Saya rasa saya tak buat apa-apa jenayah sebab apa saya surakan memang suara saya sendiri yang saya mewakili ramai yang terkesan dengan apa yang berlaku sekarang.

“Sambutan kempen juga positif, jadi tiada masalah saya rasa,” jelasnya lagi.

Sementara itu, penyokong kempen itu, Jalal Jaafar, 40, berharap kempen #KitaMintaLima mendapat perhatian kerajaan kerana ia melibatkan ramai rakyat yang terkesan teruk akibat Covid-19z

“Sebenarnya harapan saya ada pihak yang ambil perhatian kerana isu ini melibatkan rakyat yang terkesan kerana Covid-19.

“Jadi sebab itu saya harap kempen ini mendapat sokongan rakyat tidak kira di mana-mana platform,” katanya lagi.

Seorang lagi penyokong kempen yang tidak mahu dinamakan berkata, dia menyokong kempen itu kerana ia merupakan satu usaha yang dirasakannya wajar serta berniat baik.

“Saya lihat kempen ini logik dan rasional untuk rakyat turut sama menyokong dan saya lihat sambutan pun positif setakat ini sehingga ia trending sehingga semalam,” jelasnya yang juga merupakan seorang pengguna Twitter. 

Lihat Komen
ADS