Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Cukuplah mogok tak nak hantar, janganlah baling-baling barang'
Diterbitkan:  Feb 7, 2021 3:28 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Orang ramai meluahkan kebimbangan susulan tularnya video yang menunjukkan pekerja sebuah syarikat penghantaran membaling dan melonggokkan barangan yang belum dibuat penghantaran.

Rakaman video selama 15 saat itu pada awalnya tular di media sosial dengan dakwaan pekerja syarikat terbabit mogok kerana masalah pembayaran gaji.

Seorang pengguna akaun Twitter @InTheHouseMika ketika memberi ciapan balas video tersebut berkata, dia bimbang menggunakan khidmat syarikat itu.

"Ya Allah, jangan begitu bang. Saya ni rakyat marhen beli laptop pun untuk jangka masa panjang. Itupun 50 peratus duit ayah dan 50 peratus (hasil) kerja sambilan.

"Kasihan ayah saya dah (umur) 55 tahun," ciapnya.

Terdahulu video itu tular selepas dimuat naik pengguna Twitter @ImranNazri_ sehingga mendapat lebih 13,000 tanda suka dan lebih 23,000 kali ulang ciap.

Pengguna Twitter @Intvnella pula berkata, dia baru saja menerima barang yang dibeli dan dihantar oleh syarikat terbabit tetapi barang tersebut didapati pecah.

"Saya baru saja kena, dapat barang pecah. Beli untuk buat hantaran (kahwin). Kasihan pada penjual pula kena ganti duit.

"Kalau rasa ditindas, tolonglah laporkan kepada pihak berkuasa, jangan baling-baling barang orang," ujarnya memberi reaksi video tersebut.

Seoang lagi pengguna Twitter, @quelysir pula berpendapat, pekerja syarikat berkenaan yang rasa tertindas sepatutnya membuat laporan kepada pihak berwajib.

"Walaupun pengurusan syarikat ***** itu teruk, cukuplah mogok dengan tidak keluar hantar barang. Janganlah baling-baling bungkusan itu. Peniaga dan pembeli juga yang rugi.

"Di pejabat buruh menimbun kes pekerja ditindas atau dibuang kerja. Kumpulkan bukti, masuk mahkamah. Buat petisyen dan lawan," ciapnya.

Sementara itu dalam makluman ringkas di Facebook, syarikat tersebut memberitahu mereka akan beroperasi seperti biasa pada musim perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang minggu ini.

"Sementara itu, penghantaran udara dan laut akan menghadapi penangguhan sementara dari 11 hingga 14 Februari.

"Kami mohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan terima kasih kerana memahami," kata syarikat tersebut.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi syarikat berkenaan bagi mendapatkan penjelasan mereka.


Lihat Komen
ADS