Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tahun Baru Cina: MKN longgarkan SOP makan besar keluarga
Diterbitkan:  Feb 7, 2021 6:49 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekali lagi mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) bagi perayaan Tahun Baru Cina, kali ini dengan melonggarkan peraturan berkaitan acara makan besar keluarga.

Peraturan baru itu dinyatakan Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan hari ini.

Menurut kementerian itu, KKM setuju untuk membenarkan acara makan besar melibatkan ahli keluarga daripada rumah berbeza pada malam Tahun Baru Cina (11 Februari).

Bagaimanapun menurutnya, ia tidak boleh melebihi 15 orang dan hanya melibatkan ahli keluarga yang tinggal dalam radius 10 kilometer, tanpa melibatkan rentas daerah atau negeri.

Terdahulu, MKN hanya membenarkan acara itu disertai ahli keluarga yang tinggal di rumah sama.

Menurut Kementerian Perpaduan Negara lagi, MKN turut setuju untuk membenarkan kegiatan keagamaan di rumah ibadat pada 11, 12 dan 19 Februari dengan SOP yang ketat.

SOP asal yang dikeluarkan MKN pada 4 Feb lalu dikritik sejumlah pihak yang antara lain menyifatkannya sebagai mengelirukan.

Antaranya acara makan besar hanya untuk mereka yang tinggal di rumah sama. Kegiatan ziarah juga dilarang tetapi pada masa sama had berkumpul 20 orang ditetapkan.

MKN turut dikritik kerana kesilapan tarikh, dengan menyatakan SOP itu untuk 12 dan 13 Februari - iaitu hari pertama dan kedua sambutan tahun baru.

Dalam budaya Cina, malam tahun baru (11 Februari) adalah hari penting dengan ahli keluarga berkumpul untuk makan malam sebelum menyambut ketibaan tahun baru keesokannya.

Bagi masyarakat Hokkien pula, hari kesembilan juga penting bagi amalan Bai Tian Gong, iaitu sembahyang kepada Jade Emperor.

Acara sembahyang biasanya dibuat pada malam hari kelapan (19 Februari) dan berlanjutan sehingga melepasi tengah malam.

Susulan kritikan, MKN pada 5 Februari mengemaskini tarikh penguatkuasaan SOP kepada 11, 12 dan 19 Februari.

Kementerian Perpaduan Negara pada hari sama juga meminta semakan semula kepada SOP tersebut.

Lihat Komen
ADS