Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tommy Thomas akan beri kerjasama pada polis
Diterbitkan:  Feb 8, 2021 3:55 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Tiga kertas siasatan telah dibuka berkaitan memoir bekas Peguam Negara Tommy Thomas, selepas lebih 100 laporan polis dibuat terhadapnya.

Peguamnya Sangeet Kaur berkata, anak guamnya berjanji untuk memberi kerjasama penuh terhadap siasatan tersebut.

"Kami telah menulis surat kepada Ketua Polis Negara (Abdul Hamid Bador) untuk menyatakan hasrat anak guam kami bagi memberi kerjasama penuh untuk memberi keterangan," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun Sangeet berkata pihak polis masih belum menyatakan bila akan mengambil keterangan Thomas.

Ditanya jika sebarang tarikh sudah ditetapkan, dia menjawab "belum".

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata polis menerima 134 laporan dari seluruh negara terhadap buku tersebut, bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Katanya, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan dan ia akan dibuat secara terperinci sebelum mana-mana pihak, termasuk Thomas, dipanggil untuk memberi keterangan.

“Satu daripada kertas siasatan yang dibuka adalah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Kertas siasatan ketiga dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut)," katanya.

Antara pihak yang membuat laporan polis terhadap Thomas ialah bekas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali dan bekas Peguam Cara III Mohamad Hanafiah Zakaria.

Ditanya bila Thomas akan dipanggil untuk soal siasat, Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani memberitahu Malaysiakini yang pegawai penyiasat perlu diberi masa untuk mengendalikan kes ini.

"Ketika semua sudah selesai, kita akan maklumkan," katanya.

Selain laporan polis, Thomas juga menerima notis tuntutan daripada bekas perdana menteri Najib Abdul Razak berhubung kandungan yang menyentuh kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata Thomas menggambarkan anak guamnya sebagai pembunuh dengan "kesimpulan secara langsung dan sindiran yang sama sekali tidak benar, palsu dan tidak mempunyai asas atau bukti."

Thomas, menerusi peguamnya, menafikan dakwaan tersebut.

"Anak guam kami menafikan semua dakwaan dalam surat anda. Selain itu, anak guam kami juga menafikan dia melakukan salah laku fitnah (tort of defamation) terhadap anak guam anda," kata peguamnya menerusi sepucuk surat kepada Muhammad Shafee, bertarikh 4 Feb.

Dalam memoirnya, Thomas antara lain mendakwa Sirul telah memberi bukti berkaitan penglibatan Najib dalam pembunuhan Altantuya.

Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin disoal siasat polis berhubung memoir tersebut.

Kementerian Dalam Negeri juga dilaporkan sedang meneliti kandungannya meningkatkan kemungkinan buku itu akan diharamkan.

Idrus Harun, yang menggantikan Thomas sebagai Peguam Negara, turut mengkritik buku itu, dengan menyifatkannya sebagai "penghinaan terhadap institusi undang-undang".

Lihat Komen
ADS