Malaysiakini
BERITA

Tentera rampas 400kg 'teh Guanyinwang' bernilai lebih RM16j

N Faizal Ghazali

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Feb 2021, 12:30 pagi

Sejumlah 402 kilogram dadah jenis syabu berjaya dirampas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Lubok Setol, Rantau Panjang, Kelantan, pagi semalam.

Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia Brig Jen Zamsari Abu Hassan berkata dalam kejadian sekitar 10 pagi itu anggota bertugas menjumpai 10 guni berisi ratusan bungkusan teh jenama 'Guanyinwang'.

Katanya guni terbabit ditinggalkan dua individu mencurigakan di tebing Sungai Golok.

Menurut Zamsari, kedua-dua individu tersebut melarikan diri menggunakan sebuah bot sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bungkusan tersebut mengandungi 402 kilogram dadah dianggarkan bernilai RM16.08 juta.

"Inilah satu kejayaan rampasan terbesar direkodkan melalui Op Benteng Zon Utara, kawasan Ops Merpati 8 Briged negeri Kelantan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, malam tadi.

Mengulas lanjut Zamsari berkata, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan bekalan dadah itu diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan termasuk beberapa negeri di luar Kelantan.

Jelasnya, dadah tersebut mendapat permintaan tinggi daripada pengguna dan atas faktor itu, penyeludup dan pengedar berani mengambil risiko walaupun sedar pihak berkuasa sentiasa komited menjalankan kawalan serta rondaan terutama di sempadan negara.

"Lazimnya modus operandi yang dijalankan adalah membawa barangan menggunakan bot dan diletakkan di tebing sungai sebelum ada pihak lain yang akan datang mengambil," katanya.

Tambah Zamsari, rampasan itu memberi kesan bersat terhadap kejayaan keseluruhan Ops Benteng dalam memperkukuhkan persempadanan negara dalam tempoh pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Sementara itu, kesemua barang rampasan diserahkan kepada polis Pasir Mas yang diwakili Ketua Polis Daerah ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif untuk tindakan lanjut.

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.