Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adham: Hisham mungkin kuarantin 10 hari lepas lawatan UAE

Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein mungkin tidak memenuhi syarat untuk tempoh kuarantinnya dipendekkan kepada tiga hari selepas balik dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata perkara ini bergantung sama ada Hishammuddin mengikuti jadual yang ketat seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atau tidak.

"Untuk Hishammuddin, saya tidak yakin pegawai pengiringnya diasingkan. Jadi, saya tidak benarkan tiga hari (kuarantin). Ia macam biasa 10 hari.

"Saya akan memantau secara teliti. Kalau saya yakin dia keluar tak ikut jadual yang dipamerkan. Kami akan membuat pemeriksaan, kami akan meminta kuarantin 10 (termasuk) tiga hari sebelum (berlepas) dia membuat ujian," kata Adham kepada Malaysiakini.

Semalam, menteri kesihatan itu mengumumkan anggota kabinet hanya akan dikuarantin tiga hari selepas pulang dari lawatan rasmi di luar negara.

Dia mempertahankan keputusannya, berkata bahawa hanya jika menteri benar-benar mengikut "gelembung program perjalanan" (itinerary bubble), iaitu tidak terlibat dengan mana-mana program kecuali pertemuan rasmi layak untuk kelonggaran kuarantin.

Bercakap kepada Malaysiakini, Adham memberi sebab ekonomi dan faktor perjalanan Muhyiddin hanya 24 jam di Indonesia atas keputusan berkenaan.

Katanya, Muhyiddin tidak dikuarantin di Jakarta pada Khamis lalu, kerana Indonesia ingin membuka ekonomi mereka.

"Bukannya kita mengambil contoh Indonesia, tetapi kita harus saling berpihak.

"Ini yang kita panggil 'perjalanan gelembung hijau'.

"Jadi, adil tak, Muhyiddin tidak kuarantin di Indonesia, tapi, balik dia kuarantin (pada Jumaat)?" katanya.

Tambahnya, pemeriksaan oleh Kementerian Kesihatan mendapati bahawa perdana menteri mengikuti jadual program yang ketat.

"Tiga hari sebelum berlepas dia diuji negatif. Bila terbang ke Indonesia dia diuji negatif. Balik pun diuji di pintu masuk.

"Diminta kuarantin tiga hari tengok gejala ke tak bergejala.

"Kami puas hati dengan penilaian risiko, di mana saya dah periksa... di sana dia memang dalam gelembung dan dikawal di sana (Jakarta)," kata Adham.

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), Muhyiddin sedang dalam kuarantin kendiri di rumah hari ini.

PMO sebelum ini mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi yang mendakwa Muhyiddin dan pegawainya enggan menjalani kuarantin selama 10 hari.

Puad juga mempersoalkan sama ada keputusan Adham mengeluarkan surat arahan baru melalui Warta Persekutuan untuk tetapan kuarantin itu mempunyai kaitan dengan menteri yang keluar negara.

Pengkritik telah mengecam peraturan kuarantin baru itu dengan mengatakan bahawa virus Covid-19 tidak membezakan antara menteri atau rakyat biasa.

Kementerian Kesihatan pada Disember telah mengurangkan tempoh kuarantin dari 14 hari menjadi 10 hari dengan alasan tinjauan data klinikal global.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada masa itu berkata bahawa data klinikal menunjukkan kecenderungan negara mengurangkan tempoh kuarantin mandatori mereka, dan juga kadar jangkitan Covid-19 yang tertinggi dalam tujuh hari pertama dan menurun dari semasa ke semasa.

Lihat Komen
ADS