Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno ada akaun rahsia yang tidak diaudit bagi derma politik - Pendakwa

Umno mempunyai akaun rahsia yang tidak diaudit bagi menerima sumbangan politik, kata pendakwa raya hari ini.

Perkara itu didedahkan ketika pihak pendakwaan menyanggah dakwaan bahawa wang tunai RM114.16 juta, yang dituntut oleh bekas perdana menteri Najib Razak dan Umno dalam saman pelucutanhak berkaitan 1MDB terhadap Obyu Holdings, adalah milik parti itu.

Dalam hujah bertulis oleh timbalan pendakwa raya Faten Hadni Khairuddin hari ini, pihak pendakwa mendakwa ini kerana sebilangan pemimpin Umno sendiri menafikan mereka tahu mengenai dana tersebut.

Pihak pendakwaan mendakwa bahawa kenyataan polis yang dirakam dari beberapa pemimpin parti, seperti bekas setiausaha agung Tengku Adnan Tengku Mansor, dan bendaharinya, Ahmad Husni Hanadzlah dan Salleh Said Keruak, menafikan mereka tahu bahawa Najib sepatutnya menyimpan wang berkenaan bagi pilihan raya umum 2014.

Mereka mendakwa bahawa dana itu adalah hasil aktiviti haram dan berasal dari 1MDB.

Pihak pendakwaan berpendapat adalah mustahil presiden parti sekarang, Ahmad Zahid Hamidi mendakwa wang tunai berjumlah RM114.6 juta itu adalah dana Umno kerana ia terdiri daripada mata wang asing.

"Wang itu dijumpai daripada 35 beg yang dirampas oleh polis seperti yang disahkan oleh Superintendan Foo Wei Min dalam afidavitnya daripada serbuan itu. Ia juga terdiri dalam pelbagai mata wang dan pelbagai denominasi.

"Ahmad Zahid sendiri menafikan sumbangan politik itu dalam mata wang yang berbeza, ”dakwa pihak pendakwaan dalam hujah bertulis bagi menyanggah Najib dan Umno yang mahu mendapatkan semula aset yang dirampas.

Pasukan pendakwaan - yang diketuai oleh DPP Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berkata terdapat akaun rahsia yang tidak diaudit yang disimpan oleh Umno di sebuah bank di Malaysia.

Mereka berpendapat keberadaan akaun yang tidak diaudit itu merupakan kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966, dan dengan itu tiada keperluan bagi Najib menyimpan sejumlah besar dana dalam pelbagai mata wang asing secara peribadi.

"Ahmad Zahid, Tengku Adnan, Ahmad Husni dan Salleh, yang mana keterangan mereka telah direkodkan, menafikan adanya sebarang sumbangan politik dalam bentuk mata wang asing.

“Malah, bukti dari bendahari Umno (tidak disebutkan namanya) terdapat satu lagi akaun bank tidak rasmi dan tidak diaudit yang telah digunakan oleh Umno sejak tahun 1988 untuk menerima sumbangan politik.

"Sumbangan politik yang tidak diaudit secara tunai juga melanggar Seksyen 14 (1) (d) dan (b) Akta Pertubuhan.

"Tuntutan Umno sebagai pemilik (RM114,164,393.44) bercanggah dengan saksi dari parti itu sendiri dalam keterangan saksi mereka. Tuntutan ini, jika benar jelas melanggar pelbagai peruntukan dalam perlembagaan parti itu.

“Wang tunai yang tidak dihitung, tidak diverifikasi dan tidak diaudit juga menyalahi pelbagai peruntukan dalam Akta Pertubuhan, yang boleh mengakibatkan Umno dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan, ”dakwa pihak pendakwaan.

Najib tetap mengelak dan enggan mendedahkan identiti penderma berkenaan walaupun dalam prosiding yang berlangsung di mahkamah.

Pihak pendakwa berhujah bahawa jika benar wang tunai yang dirampas itu adalah derma politik, pastinya tidak sukar bagi Najib untuk mendedahkan sumber dan identiti penderma.

"Dakwaan yang dikemukakan oleh Najib dan Umno bahawa wang tunai yang dirampas adalah derma politik adalah lemah jika dibandingkan dengan bukti yang menunjukkan sebaliknya," katanya.

Pada 3 September 2019, Najib adalah antara pihak ketiga yang mencelah dalam saman pelucutanhak melibatkan wang tunai dan barangan kemas yang disitaoleh pihak berkuasa dari Pavilion Residences di Kuala Lumpur pada tahun 2018.

Pihak ketiga yang lain dalam saman pelucutanhak tersebut adalah isteri Najib, Rosmah Mansor, Umno dan syarikat barangan kemas Global Royalty Trading SAL.

Najib dan Umno, melalui peguam mereka Muhammad Shafee Abdullah dan Hariharan Tara Singh, akan membalas hujah pendakwaan semasa prosiding di mahkamah pada 11 dan 15 Mac.

[Baca berita penuh]


Lihat Komen
ADS