Ada pihak didakwa cuba gagalkan majlis Dr M
Ada pihak tertentu yang didakwa cuba untuk menggagalkan majlis 'Sanjungan Budi bersama Tun Dr Mahathir Mohamad' anjuran Umno Cawangan Kampung Padang Jual, Kuala Pilah, Negeri Sembilan petang Sabtu lalu.
Ada pihak tertentu yang didakwa cuba untuk menggagalkan majlis 'Sanjungan Budi bersama Tun Dr Mahathir Mohamad' anjuran Umno Cawangan Kampung Padang Jual, Kuala Pilah, Negeri Sembilan petang Sabtu lalu.
Ketua Umno cawangan berkenaan, Abu Samah Mahat mendakwa pihak berkenaan telah menyediakan tujuh buah bas untuk mengangkut orang Kuala Pilah ke tempat lain supaya tidak menghadiri majlis bersama Dr Mahathir.
Sebelum itu, katanya, Umno cawangan telah menemui beberapa pemimpin Umno Bahagian Kuala Pilah untuk memaklumkan mengenai penganjuran majlis tersebut.
Bagaimanapun, katanya, majlis tersebut tidak mendapat restu kepimpinan Umno bahagian dengan alasan ianya tidak sesuai dengan suasana politik semasa.
Ketika dihubungi malaysiakini, Abu Samah berkata, pada hari yang sama, ada pihak yang menganjurkan konsert hiburan di Padang Majlis Perbandaran Kuala Pilah, sempena sambutan hari Kemerdekaan ke-49.
Beliau mendakwa, konsert itu adalah usaha pihak tertentu untuk menggagalkan majlis bersama Dr Mahathir yang diadakan oleh Umno cawangannya.
Konsert 60-an
"Apabila mendapat tahu yang kita mahu mengadakan majlis bersama Tun Dr Mahathir, kami mendapat tahu, barulah pihak berkenaan berusaha untuk menganjurkan konsert hiburan lagu-lagu 60-an itu," katanya.
Beliau mendakwa, pihaknya mendapat tahu bas-bas disediakan untuk membawa orang Kuala Pilah menyaksikan konsert tersebut.
Katanya, secara tidak langsung tindakan itu dianggap cuba menghalangkan orang Kuala Pilah daripada menghadiri majlis bersama bekas Perdana Menteri itu.
Abu Samah berkata, Umno cawangan Kampung Padang Jual mengadakan majlis tersebut sebagai menghargai jasa dan sumbangan Dr Mahathir kepada parti, bangsa, agama dan negara.
Katanya, sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, Dr Mahathir berjaya meletakkan nama negara ini setanding dengan negara maju lain.
"Hinggakan Dr Mahathir mahu bersara mereka tidak bagi. Ramai ahli Umno menangis apabila beliau meletakkan jawatan pada bulan Oktober 2003.
Tidak restui
"Malangnya pada hari ini semua orang benci kepada beliau sehingga ada usaha untuk memadamkan nama Dr Mahathir dari sejarah negara," katanya.
Bagaimanapun, katanya, majlis tersebut mendapat permit polis.
Kira-kira 500 ahli dan penyokong Umno telah menghadiri program tersebut di mana Dr Mahathir, dalam ucapannya menegaskan bahawa demokrasi dalam Umno sudah mati.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menentukan sama ada akan mengambil tindakan ke atas Umno cawangan Padang Jual.
Katanya, mungkin mesyuarat bulanan Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian akan mendengar pandangan pelbagai pihak sebelum keputusan dibuat.
"Pendirian Umno Bahagian Kuala Pilah ialah majlis tersebut tidak direstui kerana ia tidak sesuai dengan perkembangan politik semasa," tegasnya.
Dr Mahathir telah mengkritik keras keputusan kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membatalkan beberapa projek yang dimulakan sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri itu, termasuk pembatalan pembinaan jambatan ke Singapura.

