Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat kes wanita ditanya pasal pakaian dalam di sekatan jalan
Diterbitkan:  Feb 13, 2021 4:49 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dua kes berhubung kejadian dua wanita yang didakwa diganggu anggota polis yang bertugas di sekatan jalan, termasuk satu gangguan seksual.

Pengarah Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Zamri Yahya berkata, pihaknya pada masa ini pihaknya sedang menjalankan siasatan berdasarkan kenyataan dua wanita terbabit

"Siasatan pada masa ini adalah untuk mengenal pasti kedua-dua anggota terbabit berdasarkan keterangan dan maklumat yang ada.

"Pada masa sama, Bukit Aman sudah menghubungi kedua-dua wanita itu bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai anggota yang didakwa mengganggu mereka bagi membantu siasatan JIPS," katanya seperti dipetik portal BH Online hari ini.

Seorang wanita membuat laporan polis hari ini selepas mendakwa diganggu secara seksual oleh anggota polis yang bertugas di sekatan jalan.

Pada awalnya, wanita itu menceritakan kejadian yang berlaku sekitar 7.15 pagi di sekatan Jalan Duta menerusi akaun Twitternya.

Wanita itu kemudian mendakwa, dia ditanya oleh anggota polis sama ada memakai pakaian dalam atau tidak, selain memberi jaminan tidak akan mengeluarkan saman jika dia menunjukkan sama ada dia memakai pakaian dalam atau tidak.

Ketika dihubungi Malaysiakini, wanita berkenaan berkata kejadian itu berlaku jam 7.15 pagi semalam.

Menurutnya, dia suda membuat laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Shah Alam hari ini dan diminta ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk memberi kenyataan..  

Dalam kejadian berasingan, seorang wanita mendakwa menerima mesej daripada seorang anggota polis yang sebelum ini menahannya di sekatan jalan.

Wanita itu mendakwa anggota polis berkenaan mencatat maklumat peribadinya termasuk nombor telefon, sebelum mendapat mesej untuk "berkenalan".

Mengulas lanjut, Zamri menambah, pihak berkuasa akan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya ke atas anggota yang terbabit.

"Kesalahan seperti dinyatakan itu adalah kesalahan tatakelakuan yang serius kerana ia boleh mencemarkan imej PDRM.

"Saya juga ingin mengingatkan bahawa pegawai dan anggota polis yang sedang bertugas perlu bersikap profesional dan tidak membuat sesuatu perkara atau melakukan percakapan yang tidak berkaitan tugas rasmi yang sedang dijalankan," katanya.

Laporan tambahan oleh Ramieza Wahid


Berikut merupakan nombor telefon dan capaian laman sesawang sekiranya anda berdepan dengan gangguan seksual atau keganasan:

Persatuan Tindakan Semua Wanita (AWAM)
Laman web:https://www.awam.org.my
Tel:03-79874221;Email:telenita@awam.org.my
Telenita Hotline: 0162374221

Kumpulan Daya Tindakan Wanita Sabah (SAWO) 
Laman web:http://www.sawo.org.my/
Tel:088-280200;Email:sawo.[email protected]

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
Website:https://wao.org.my/
Tel:03-79563488(24 jam;SMS/Whatsapp:018-9888058

Pusat Kesedaran Wanita (WCC), Pulau Pinang
Laman web:www.wccpenang.org
Tel: 04-228 0342
Talian KASIH:15999

Lihat Komen
ADS